Monday, August 31, 2009

MAHASISWA MINDA MERDEKA

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan Nama Allah,
Yang Maha Pengasih, Lagi Maha Penyayang.

“.. Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

(Surah Al- Mujadalah :11)

Berdasarkan ayat suci al-Quran tersebut, jelas terbukti bahawa golongan berilmu sangat dipandang tinggi bukan sahaja dari kaca mata manusia malah menurut pandangan Allah juga. Tidak dapat tidak golongan sedemikian turut menyumbang dalam jatuh bangunnya kemajuan sesebuah negara. Persoalannya, siapakah golongan tersebut dalam masyarakat kita pada masa ini?

Lihatlah sekeliling kita dan carilah di mana golongan tersebut. Ya, kitalah golongan tersebut. Ya, kita adalah mahasiswa. Sememangnya tanggunggjawab penting berada di pundak mahasiswa yang menggalas harapan masyarakat untuk melihat bumi Allah ini terus subur maju dan diredhai-Nya. Setiap yang bergelar mahasiswa patut merasakan berat tanggungjawab tersebut. Mahasiswa merupakan golongan terpenting dalam strata sosial masyarakat kerana mereka merupakan pemimpin pelapis di masa hadapan. Hamparan pakej kekuatan fizikal, kekuatan mental, kekuatan semangat dan idealism memberikan kredit kepada mahasiswa untuk bangkit menjadi negarawan terulung.

Mahasiswa lesu merupakan satu fenomena biasa pada kalangan mahasiswa hari ini yang perlu diubah. Mahasiswa perlu mengubah persepsi minda mereka bahawa universiti bukan tempat untuk menuntut ilmu semata-mata malah di sinilah tempatnya mereka belajar mencurahkan bakti kepada masyarakat. Mahasiswa sepatutnya sedar yang sebenarnya bukan ilmu di dalam kuliah sahaja yang perlu mereka kejar. Tidak cukup andai mereka hanya mengaplikasikan curahan ilmu dari dalam bilik kuliah semata-mata sepanjang tiga atau empat tahun berada di perbukitan ilmu ini. Lihat sahajalah negarawan terbilang seperti Tun Dr Mahathir, Dr Fuad Zarkashi, Dato’ Seri Anwar Ibrahim merupakan figura-figura yang asalnya dahulu merupakan aktivis pelajar. Produk pelajar yang sebeginilah sepatutnya menjadi kriteria paling utama bagi graduan-graduan hasil universiti tempatan mahupun luar negara.

Millenium baru ini, mahasiswa perlu bangkit dengan penuh semangat dan meniupkan roh baru dalam pemikiran mereka dengan beroraganisasi dan menyelami ilmu kepimpinan itu sendiri. Lidah mereka lebih diperlukan untuk menjaga kebajikan masyarakat daripada digunakan untuk cakap-cakap kosong mahupun memperjuangkan hiburan yang bersifat hedonisme. Kampus merupakan lokasi mahasiswa mempersiapkan diri mempelajari ilmu kepimpinan dan medan utama mereka mengaplikasinya adalah apabila sudah berada bersama masyarakat nanti.

Kemerdekaan Negara yang telah mencapai usia 52 tahun sewajarnya menjadi titik tolak bagi mahasiswa turut sama memerdekan minda mereka. Mahasiswa tidak boleh lagi terus dibelenggu dengan sifat pasif duduk di bilik-mentelaah tetapi lebih agresif dan aktif mengeluarkan tajam gigi taring demi misi menjadi pelapis negarawan terulung Malaysia. Kita menjejakkan kaki ke menara gading membawa harapan dari seluruh masyarakat dan pastikan kepulangan kita nanti bersama-sama dengan segunung kejayaan yang boleh dikongsi bersama seluruh masyarakat.


No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin