Saturday, January 21, 2012

Memang Susah!

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan Nama Allah,
Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani

Ada sebuah kereta memotong di sebelah kanan. Waktu kereta Gen2 ungu itu berada di sebelah kanan ingin memotong, siap dibunyikan hon lagi. Tentu saja saya terkejut. Saya pandang ke arah kereta tersebut. Silap sayakah? Hon bukan main panjang, terkejut sudah tentu!



Kawan saya di sebelah juga turut terkejut bukan main. Matanya yang sedia besar itu, dibesarkan lagi. Tanda terkejut, ataupun marah mungkin? Saya kerut dahi, tak faham apa sehinggalah saya nampak lambaian penuh semangat oleh si pemandu dan manusia di sebelahnya.

Sayup-sayup saya dengar mereka menjerit nama saya, "Syamila! Syamila!" sambil melambai-lambai. Kejadian beberapa saat itu, saya berjaya rakam sepenuhnya dalam minda saya. Perlahan-lahan saya senyum, namun terlalu lambat pula saya membalas lambaian. Hanya apabila wajah mereka hilang dari pandangan, baru saya sedar tangan saya terkial-kial melambai semula.

"Eh, Mel. Awak kenal ke diorang tu? Otai semacam je.. macam abang besar," saya tergelak mendengar butir bicara si manis sebelah saya. Asalkan pakai baju tak berlengan saja,sudah di cop sebagai abang besar, asal rambut terpacak fesyen mohawk saja, dipanggil abang besar. Saya juga begitu dahulunya. Saya nampak mereka, malah saya katakan, "Wah, langsi betul!"
Lebih teruk, bukan?

"Kawan saya," jawab saya ringkas. Mata besar itu terbeliak lagi. Tak percaya mungkin, manakan mungkin saya berkawan dengan manusia jenis itu. Ya,benar. Mereka pun mungkin tak mengaku saya kawan mereka. Cuma mungkin, saya sahaja yang bersungguh-sungguh memasukkan nama mereka dalam senarai nama kawan-kawan saya. Gadis di sebelah saya hanya mampu mengetap bibir, menahan rasa. Saya tahu dari sudut hatinya yang dalam itu, dia mahu tahu siapakah mereka yang saya gelar 'kawan saya'.

Ayie itu siapa?

"Siapa awek yang sebelah kau semalam tu?" Ayie tanya pada saya. Saya sudah agak dari semalam, tentu saja dia akan bertanyakan soal itu. Saya senyum saja, malas mahu menjawab. Saya terus masuk ke dalam rumah. Ayie, jejaka yang tinggi lampai itu sebenarnya saya kagumi dalam diam. Atas dasar apa saya mengaguminya, itu mungkin tidak terlalu penting.

Kacak luar Kacak dalam
Kacak dengar sini
Kalau saya senyum Awak mesti senyum sekali
Kalau kita senyum
Semua orang berjangkit
Bila semua orang senyum Dunia tiada penyakit

Senyum Tak perlu kata apa-apa
Senyum Tak perlu kata apa-apa
Senyum Tak perlu kata apa-apa
Senyum Tak perlu kata apa-apa


Saya dengar sayup-sayup dari dalam rumah. Petikan gitar itu menambahkan lagi keindahan suara Ayie. Ayie itu sungguhpun minatnya hanya pada gitar, tapi jika disuruh membaca al-Quran, merdua suaranya menenangkan hati kita. Jika didesaknya menjadi imam, boleh tahan juga bacaannya. Saya kagum itu. Saya masih ingat lagi, waktu mula-mula dulu, waktu saya mula-mula kenal Ayie dulu, dia dan gengnya selalu nyanyi lagu itu. Setiap kali saya pulang ke rumah, setiap kali saya turun dari kereta, pasti dia akan nyanyi lagu itu. Walaupun ketika itu, dia dan rakan-rakan sedang layan lagu lain mereka akan cepat-cepat tukar lagu..



Barulah saya tahu selepas itu, lagu itu mereka nyanyi bila nampak saya balik rumah.

"Lagu ni, kitorang nyanyi khas untuk kau. Sebab kau kan suka senyum-senyum kat kitorang. Hahaha,"

Mereka gelak ramai-ramai. Saya takut sangat waktu itu. Saya takut dengar lelaki ketawa ramai-ramai. Tapi saya senyum jugak, sebagai tanda mahu meraikan mereka. Entah kenapa saya fikir, saya perlu menghadiahkan senyuman untuk mereka. Sebagai tanda saya menghargai kehadiran mereka sebagai jiran di sebelah rumah mak cik saya, rumah yang saya tumpang suatu ketika dulu.

Saya fikir, senyuman itu sebagai ganti kepada kata-kata,

"Aku tak dapat jawab soalan korang, so aku senyum je. Aku tak dapat jawab salam korang, so aku senyum je. Aku tak tahu nak berbual macam mana dengan korang, so aku senyum je,"

Saya juga tidak tahu,macam mana mahu tegur mereka apabila mereka sudah sedar dan tahu waktu solat itu sudah masuk tapi masih tidak berbuat apa-apa. Masih lagi khusyuk dengan gitar dan entah apa-apa lagi itu.

Saya juga tidak tahu, macam mana mahu tegur mereka agar tidak menggunakan waktu terluang mereka untuk melepak-lepak. Lebih baik sahaja mereka gunakan waktu mereka untuk melakukan sesuatu yang lebih berfaedah, bukan? sungguh, bumi Batu Pahat itu bukan seperti Bangi Bandar Ilmu. Di mana-mana sahaja, penuh majlis ilmu.

Saya juga tidak tahu, macam mana mahu tegur mereka supaya tidak melakukan yang tidak-tidak kepada orang di sekeliling. Ya,saya tahu mereka itu berjiwa muda, berdarah panas. Tapi, mereka harus fikir, orang sekeliling. Bagaimana mahu menghormati yang tua, bagaimana mahu menyayangi yang muda. Itu sangat penting!


Ahmad Zulfadhli itu pula siapa?

Satu hari, mak cik saya minta tolong hantarkan lauk ke rumah sebelah. Saya setuju sahaja. Waktu saya mahu keluar rumah, rupa-rupanya ada geng yang sedang melepak di hadapan rumah jiran sebelah. Saya takut-takut mahu keluar. Tapi, saya buat biasa sahaja. Mujur abang sepupu saya ada bersama mereka waktu itu. Saya panggil nama dia, tapi dia tak dengar. Bising sangat dengan bunyi gitar dan suara orang menyanyi dan melalak.

Ada seorang yang perasan kehadiran saya, maka dia mendekati saya.

"Nak apa?" katanya tegas. Saya mencebik dalam hati, berlagak lah pulak!

"Dik, tolong akak panggilkan Abang An," ujar saya sungguh-sungguh. Saya tahu, mereka semua adik-adik saya, sebab itu saya gelarkan diri sebagai akak. Hanya seorang sahaja dari mereka yang sebaya dengan saya, yang lainnya adik-adik. Sopan sahaja kata-kata saya waktu itu, saya pun kagum dengan diri sendiri.

"Alah, kau tak payahlah akak-akak dengan aku. Jap aku panggilkan dia," selamba sahaja dia jawab begitu. Ada sedikit hirisan dalam hati saya. Entah kenapa? Ahh, persetankan saja! Mula saat itu, mereka sebut 'aku kau' saja dengan saya. Tapi, tak mengapalah kan? It's ok for me!

Pagi ahad tu, saya buat-buat rajin. Tolong siram pokok depan rumah makcik saya. Rajin kan? Tiba-tiba saya nampak Ahmad Zulfadhli dengan motor LC hijaunya, memparkir motor betul-betul depan rumah Ayie, rumah sebelah tu. Ahmad Zulfadhli itulah yang tolong saya panggilkan Abang An tempoh hari. Saya tahu rumah Ayie kosong pagi tu, jadi saya hairan kenapa Ahmad Zulfadhli datang hari itu. Tapi, saya buat-buat sibuk, konon-konon tak perasan dia datang.

"Eh, An ada kat rumah tak?" dia tanya saya, tanpa salam, tanpa intro.

Saya senyum, kemudian saya geleng-geleng kepala. Geleng maksudnya Abang An tiada di rumah.

Saya jeling dia, saya nampak dia keluarkan gitar dari begnya. Dia sungguh stylo hari ini. Mungkin mahu ke mana-mana hari ini. Dia mula memetik gitar, mendendangkan lagu.

Seingat aku
Kita pernah bertemu dulu
Di satu pesta keramaian

Anggun wajah mu
Menjadi perhatian
Dan hatiku juga berkocakan

Bagai lena yang diulit
Mimpi bertemu
Ingin ku jadikan mu penyeri
Warna hidup ini

Oh tiada ter banding indah
Sewaktu bersamamu intan
Hilai tawa terpancarlah
Oh sinaran keinginan



Getah paip terlepas dari pegangan saya. Wahh.. suara dia sangat sedap dan merdu. Suara Ayie yang saya kagumi itu pun kalah. Alangkah indahnya suara semerdu itu apabila mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Allah kan? fikir saya. Sedang saya tersenyum-senyum tanda menghargai suaranya yang merdu itu,

"Lu apahal? Skodeng gua nyanyi eh?" saya terkejut, hilang lagu yang indah kegemaran saya itu. Lu? Gua? Pertama kali dalam hidup orang cakap macamtu dengan saya. Sedihnyaaa!!!

"Tak, bestlah. my favorite song tu. Nyanyilah, akak.. eh,aku nak dengar lagi. boleh?" ah.. macam gedik pulak saya berbahasa. Saya senyum lagi, senyuman plastik. Harap-harap dia tak marah saya. Entah kenapa saya rasa Ahmad Zulfadhli ni kasar, hati dia tentu macam batu.

"Kau suka lagu ni? Tak sangka pulak aku orang macam kau suka lagu ni," dia mula ramah. Menunjukkan lesung pipit yang dalam di sebelah pipi kiri bila berkata-kata. Manis.

" Ya, suka sangat. Tapi tu dululah. Lepas tu suka lagu lain pulak," saya membalas keramahan saya. Dalam hati saya masih terfikir, betulkah cara saya ini?

"Lepas tu, kau suka lagu apa?" dia seakan minat dengan topik perbincangan kami.

"Lepas tu, aku minat nasyid. Tapi sebenarnya nasyid pun takdelah bagus sangat. Aku pernah dengar seorang ustaz ni kata. kalau kita nak berhibur pun, hiburan paling baik adalah selawat dan zikir,"

"Zikir? contoh?" dia mengerutkan dahi. Dia berminatkah? Saya menjawab sekadarnya. Saya pun tak ingat apa yang saya jawab, yang pastinya perbualan kami terhenti bila kereta Gen2 milik keluarga Ayie tiba menghampiri halaman rumah sebelah.

Oh ya?

Bagaimana saya tahu namanya Ahmad Zulfadhli? Ah,senang saja. Saya tanya sendiri kepada tuan punya badan. Saya masih ingat lagi,

"Eh, nama penuh kau ape ek?" saya ambil kesempatan untuk bertanya.

Waktu itu ada Abang An, Ahmad Zulfadhli dan saya. Abang An minta tolong Ahmad Zulfadhli betulkan motosikalnya yang rosak. Setakat kerosakan yang biasa-biasa, Ahmad Zulfadhli boleh bantu juga sikit-sikit. Mulanya, saya ada dalam rumah. Tiba-tiba Abang An minta hidangkan air. Saya pun okey je.

"Apasal kau nak tahu?" sedikit pun dia tak pandang muka saya. Saya mencebik dalam hati. Berlagak!!

"Eh, tak nak bagitau takpe. Saja je tanya," saya malu-malu jawab, padahal dalam hati dah terbakar. Saja la tu nak malukan saya yang sedia pemalu ini. Saya berkira-kira mahu beredar tapi terhenti tiba-tiba.

"Ahmad Zulfadhli bin Jaafar," saya senyum segaris ke arahnya dan kembali masuk ke dalam rumah.

"Kalau kau suka aku, cakap jela. Aku ok je," walaupun perlahan bunyinya tapi saya dapat tangkap di pendengaran saya. Saya belum pekak lagi.

Marah? tentulah tidak. Alah, budak-budak. Sebab saya tahu, tujuan saya untuk tahu nama dia bukan untuk berkenalan semata-mata. Waktu itu saya bersungguh-sungguh menyelitkan nama dia lewat doa-doa saya. Moga-moga yang namanya Ahmad Zulfadhli itu dibukakan pintu hatinya dan Allah kurniakan hidayah buatnya. Saya pernah baca,

Surah Taha merupakan surah yang baik untuk melembutkan hati yang keras terutama sekali dibacakan kepada ahli keluarga yang keras hati, malas dan degil untuk beribadat kepada ALLAH S.W.T.
Ayat 1-5 yang dibaca oleh Saidina Umar al-Khattab r.a yang pada masa dan ketika itu belum lagi memeluk agama Islam, tersentuh hatinya dan beliau terus memeluk agama Islam pada hari itu juga di hadapan Nabi Muhammad S.A.W

Seingat saya hanya dua kali sahaja saya baca surah Taha untuknya. Lepas tu, saya lupa langsung kepada yang namanya Ahmad Zulfadhli itu. Saya melangkah ke bumi Bangi, maka saya lupa kenangan di Batu Pahat.

Sekarang

Ya, itu peristiwa beberapa tahun lalu. Yang saya semat kukuh dalam memori ingatan. Saya kembali teringat sosok tubuh bernama Ahmad Zulfadhli itu apabila saya bertemunya di majlis walimatul urus di kampung saya bulan lalu. Saya seakan tidak percaya lelaki muda yang menggantung tuala di lehernya, yang membantu mengangkat pinggan mangkuk, yang membasuh pinggan mangkuk dalam majlis kenduri kahwin itu adalah Ahmad Zulfadhli yang pernah saya kenal dulu. Saya cepat-cepat menghampirinya,



"Eh, Fadhli kan?" dalam kekalutan itu saya tetap menghadiahkan senyuman. Entahkan senyum plastik, entahkan senyuman gedik.

"Eh, kau! Tak pernah umur orang panggil aku Fadhli," saya tergelak kecil. Ya, sebetulnya saya terlalu gelabah, saya lupa-lupa ingat nama sebenarnya, itu yang saya laju sahaja menyebut Fadhli.


Yang saya tahu, nama Ahmad Zulfadhli dikalangan rakan-rakannya adalah Pacai ataupun Zul. Saya tersenyum kecil. Benar, wajah Ahmad Zulfadhli itu sudah berubah benar. Wajah Ahmad Zulfadhli itu berubahnya bukan apa. Nampak lebih tenang dan damai daripada sebelumnya. Itu sudah pasti! Apabila azan Zuhur berkumandang, saya nampak Ahmad Zulfadhli cepat-cepat saja ke surau kampung, sebelah saja dengan rumah pengantin. Saya menangis dalam hati. Terharu benar!

"Aku ada sesuatu untuk kau," itu ayat terakhir dia petang itu.

Dia sempat bluetooth video ke dalam telefon bimbit saya. Dalam video itu, terakam Ahmad Zulfadhli sedang memetik gitar, lagunya bukan lagi Lena Diulit Intan mahupun Senyum nyanyian Najwa anak Timbalan Perdana Menteri. Tapi, lagu ini benar-benar menyentap hati dan perasaan saya. Saya cepat-cepat buang video tersebut dari simpanan memori telefon bimbit. Sudahnya, sepupu-sepupu saya yang lain marah kerana saya membuang video itu sebelum sempat mereka menontonnya..

Akhir

Itulah, nak jadi baik memang lambat. Nak membina memerlukan masa. Nak meruntuh sekelip mata. Kita seharusnya terus bermujahadah untuk istiqamah. Tutup ruang-ruang untuk melakukan kemaksiatan. Isi kehidupan dengan kebaikan. Berkawan dengan kawan-kawan yang baik. Usaha dan terus usaha. Insya-Allah, Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita. Saya yakin, mereka yang betul-betul mahu berubah ini, mujahadahnya tinggi. Sama jugalah dengan si Ahmad Zulfadhli itu.

"Maksud baginda Rasulullah s.a.w. dengan memperbaiki dan meningkatkan mutu solat, dari segi rukun qauli (percakapan), rukun fi'li (perbuatan) dan rukun qalbi (rasa hati), lambat laun solat akan berjaya menjadi benteng kepada amalan keji dan mungkar."

best macam ni laa!


ImageChef.com - Custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more

Wednesday, January 4, 2012

Oh Salwa

سم الله الرحمن الرحيم
Dengan Nama Allah,
Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani.

Salwa I

Sudah lama saya tidak beramah mesra dengan mereka. Sesekali berjumpa dalam majlis keraian begini, saya takkan lepaskan peluang. Saya peluk-peluk mereka, saya cium pipi mereka, saya tanya soalan-soalan kepada mereka. Saya mahu mereka kenal saya siapa, terkadang saya pula yang keliru mereka siapa. Muka hampir sama.


ulya, hanin, salwa


Maka pada hari itu, saya duduk dengan mereka. Bersembang apa yang patut, setiap dari mereka mendapat soalan yang sama. Biarpun apa yang saya tanyakan itu, bukanlah benar-benar mahu saya tahu. Sekadar berbasa-basi.

Saya mencangkung, meletakkan kedudukan dan ketinggian hampir sama dengan mereka. Sebetulnya, saya sudah penat berdiri. Saya bahagia melihat mereka. Sungguh!! Melihat senyuman pun sudah cukup membuatkan saya bahagia, apatah lagi mendengar keletah mereka.


Salwa II

Tiba-tiba, datang seorang jejaka. Tanpa diundang barangkali. Mungkin, demi melihatkan kemesraan kami beliau rasa terpanggil juga untuk sertai. Derapan kakinya semakin hampir, tapi derapan itu jugalah buat hati saya berdebar menggila. Entah kenapa?

Saya tidak betah begitu, maka sesuatu yang tidak sepatutnya keluar dari mulut saya.

“Salwa, siapa ni?” soal saya pura-pura., telunjuk mengarah kepada jejaka itu.

Soal saya kepada si comel Salwa bertanyakan tentang kehadiran jejaka yang entah sebenarnya diundang bertandang atau tidak itu. Soal saya itu bukan niat apa-apa. Saya sebenarnya mahu menafikan debaran hati. Saya sebenarnya mahu si jejaka itu tahu saya tiada niat apa-apa. Saya sebenarnya mahu si jejaka itu tahu saya tidak gemar diganggu.

Saya buat muka selamba. Harapan saya hanya satu. Saya berharap si comel Salwa akan menjawab begini.

“Itu pak cik Salwa,” ataupun mungkin,

“Itu Achik la, tak kenal ke?” ataupun mungkin juga begini,

“Itu bakal suami mak cik,” sambil Salwa merujuk ‘mak cik’ itu adalah saya. Ahh!!!


Salwa III

Tapi, tidak ada satu skrip di atas pun yang Salwa ucapkan. Salwa jawab,

“Itu ayah kita lah,” sungguh-sungguh, penuh yakin.

Saya sedikit terkejut. Menagih jawapan dari jejaka itu. Saya jeling sekilas wajah jejaka itu, jelas terpancar riak sedih. Saya menyalahkan diri sendiri atas soalan yang entah apa-apa keluar dari mulut saya sebentar tadi. Jejaka itu kemudiannya mengukir wajah selamba. Sambil bertanyakan itu ini kepada anak-anak saudaranya, anak kepada abangnya (Hanin dan Ulya) dan anak kepada kakaknya (Salwa). Dengan saya, sepatah dua sahaja yang diucapkan, itu pun dengan tidak memandang ke arah saya. Huh!

“Kita ada dua orang ayah tau! Achik dengan lagi sorang, Uteh,” si comel Salwa menambah lagi, dengan keyakinan yang tidak berkurangan. Achik dan Uteh, dua-dua bapa saudaranya. Saya tahu itu!

Saya menunduk, jelas saya sedih. Kemudian saya terdiam lama. Mahu sahaja saya tinggalkan mereka. Segera. Tapi kaki saya seakan berat. Saya menanggung sedih dengan tidak mahu memancarkan rasa itu pada wajah. Jejaka itu berlalu pergi, entah mengapa.

Dengan rasa sedih yang membelit hati, saya khabarkan pada diri. Saya mahu sayang mereka sungguh-sungguh. Biarpun mereka tidak tahu itu, tapi saya sayang mereka, tetap sayang mereka.

Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.”


(9:40)


"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.”

(3:139)

Salwa IV

Saya tidak mungkin lupa bagaimana saya melambai-lambai si comel Salwa. Dan kemudiannya, dia berlari-lari anak ke arah saya. Tudung yang tersarung itu menyerikan lagi wajah comelnya, sekaligus menambahkan rasa sayang yang bertandang dalam hati saya.

“Kakak, nanti kita jumpa lagi tau. Salwa balik KL dulu,” ucapnya sambil mencium tangan saya.

Kan, sudah saya khabarkan. Si comel Salwa masih tak kenal saya. Berkali-kali sudah saya khabarkan,

“Ishh.. bukan kakak lah. Mak Ngah, Mak Ngah Nurul,” saya sungguh-sungguh mahu dia ingat itu.

Saya hanya mahu mereka tahu,

Mak Ngah sayang Salwa.

Mak Ngah Nurul sayang sangat-sangat semua.


Akhir

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurna-kan balasan kamu..."

(3:185)

Al-fatihah untuk allahyarham Mazlan bin Ismail

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin