Tuesday, February 14, 2012

D.I.A

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan Nama Allah,
Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani.

Ingat tak?

“Kak Nurul ingat tak dulu kita pernah pergi kedai Anang. Lepas tu, kita pergi pondok telefon. Kak Nurul telefon kawan kak Nurul yang namanya Muharam. Ingat tak?” tanya Ain sungguh-sungguh.

“Tak ingat,” jawab saya sepatah, lalu meneruskan suapan bubur sum-sum. Sedap bubur sum-sum ni, saya gemar amat.

“Macam mana kak Nurul boleh kenal Muharam tu?” Ain masih tak putus asa, mahu terus-terusan bertanya. Saya ambil lepat pisang, yang ini pun saya gemar amat.

“Tak ingat,” lalu saya menyuap lepat pisang kegemaran saya.


Mahu lupa

"Seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali."

(HR Bukhari & Muslim)

Masa lalu saya kalau boleh,saya mahu ianya berlalu. Saya punya zaman kebodohan yang amat, zaman jahiliyyah. Kalau boleh, saya mahu buang jauh-jauh segala kenangan itu. Kerana itu semua bukan kenangan,tapi titik hitam.

Masa lalu saya kalau boleh, saya mahu ianya terpadam. Kalaulah membuang memori lalu semudah mem’format’ komputer, format saja semua data akan hilang. Itu adalah sangat bagus. Tapi,saya fikir ianya tidak mudah. Maka,waktu-waktu muhasabah saya akan tertayanglah memori dulu.

Masa lalu saya kalau boleh, saya mahu ianya berpengajaran. Ya, abaikan melihat memori itu dari sisi buruk, tapi lihatlah dari sisi yang baik. Saya tak mungkin menjadi orang yang baik sahaja sepanjang masa.

Kerana saya fikir kalau saya orang yang baik sahaja sepanjang masa, pasti akan tidak tahu apa namanya insaf dan taubat. Kalau saya orang yang baik sahaja sepanjang masa,pasti akan mendabik dada menuturkan seluruh kebaikan yang sudah dilakukan. Kalau saya orang yang baik sahaja sepanjang masa, saya khuatir apabila diuji ALLAH, saya mudah mengalah kerana saya tidak tahu apa itu yang jahat namanya.



Saya kagum

Saya kagum benar dengan tokoh ini, sungguh! Kalau kamu ambil tahu sejarah hidupnya dulu, pasti kamu kagum dengan berubahnya dia. Jadi, saya kagum sungguh dengan tokoh ini. Saya mahu jadi seperti dia, menjadi lebih baik.

Dalam hati saya, ada senarai nama. Ada orang,dalam hati dia hanya ada satu nama. Tapi, dalam hati saya kini ada beberapa nama, sebelum datangnya satu nama yang setia itu. Nama-nama dalam hati saya terlalu ramai,hinggakan saya pun lupa siapa yang ada dalam hati saya. Saya sayang sungguh-sungguh mereka. Ada perempuan, ada lelaki. Ada tua, ada yang muda. Ada yang saudara, ada yang bukan. Tapi benar, mereka dalam hati saya.


"Apabila hamba-Ku bertanyamu tentang Aku hai Muhammad, maka jawablah Aku (Allah) amat hampir dengan mereka, Aku memenuhi doa yang memohon kepada-Ku. Maka mereka hendaklah memenuhi perintah-Ku dan mereka beriman kepada-Ku agar mereka sentiasa mendapat petunjuk.”

(2:186)


Dia

Ada satu nama dalam hati saya. Kita abaikan siapa nama penuhnya, tapi kita panggil dengan nama Dia. setuju?

Dia bukan siapa-siapa pada saya. Bukan saudara, bukan kekasih,bukan teman, bukan siapa-siapa. Saya kenal Dia, Dia mungkin kenal,mungkin tidak kenal saya. Tapi sungguh, saya lupa langsung bagaimana raut wajahnya. Yang pasti, saya yakin Dia punya ketinggian yang sederhana, wajah yang ditumbuhi jerawat penuh dan rambut yang bagaimana ya? Ah,saya lupa. Itu kenangan tahun 2002. Sedekad telah berlalu.

Waktu itu, bulan Ramadhan tahun 2002. Di Johor, ada peperiksaan Darjah Khas, pendidikan tertinggi bagi Sekolah Agama Johor. Bagi saya, siapa-siapa yang sudah belajar sampai tahap Darjah Khas, sepatutnya dia sudah pandai agama. Dia patut sudah tahu apa itu syarat sah solat, bagaimana mahu mandi wajib, apa itu talak dan rujuk, serba-serba dia sudah belajar.

Waktu rehat peperiksaan Darjah Khas itu, saya lepak di koridor depan kelas tingkat satu bagunan sekolah itu bersama kawan-kawan. Bersama kitab Jinayat, saya perlu baca sungguh-sungguh. Study last minute lah katakan. Tiba-tiba mata saya merayap ke bawah, saya lihat Dia. Dia makan roti tercangkung-cangkung di depan tandas. Sudahlah tidak puasa,makan di depan tandas pula tu! Kamu tahu apa rasa saya dalam hati. Hancur luluh hati saya ini melihatkan itu. Entah kenapa?

“Tadi awak tak puasa eh? Saya nampak awak makan roti depan tandas. Kenapa?” saya tanya Dia malam itu, inginkan kepastian. Walaupun hati saya hancur luluh, saya tetap kuat dan tabah mahu mendengarkan jawapan. Walaupun saya bukanlah baik sangat,tapi saya puasa di bulan Ramadhan!

“Kalau perempuan datang bulan 7 hari,saya pulak datang matahari 30 hari,” jawapan itu disambut deraian ketawa olehnya, tapi bagi saya pula jawapan itu menusuk-nusuk tangkai hati.Jawapannya mempersenda. Saya tidak tahu apa jawapan saya, saya lupa langsung. Entahkan ada secebis nasihat dari saya ataupun tidak,saya lupa.

*****

“Awak, malam ni saya nak lepak 2000,” nada Dia ceria hari itu. Ada saya kisah mana dia mahu lepak? Tidak!

“Oh, yeke?” saya menjawab sekadarnya.

“Tapi, kat situ tak boleh masuk kalau bawah 18. Saya kan baru 15,” Dia tambah lagi.

Saya tidak tahu mana letaknya 2000 itu. Tempat apa pun tidak saya tahu. Satu malam, saya bersama family, menaiki kereta. Tiba-tiba saya terpandang tulisan besar berwarna,lip lap dengan lampu. 2000. Saya pandang kali kedua. Eh,tempat apa tu? Saya lihat, dia tulis 2000, karaoke & lounge. Saya nampak amoi-amoi cina berpakaian seksi, di hadapannya. Seakan menyambut tetamu. Astaghfirullah al-azim. Itu bukankah tempat tidak senonoh? Disko ataupun pub mungkin?




Saya berkawan dengan siapa sebenarnya ini? Saya tidak tahu Dia betul-betul ke tempat itu atau main-main, gurau-gurau dengan saya. Saya harap tidak!

****

“Awak pernah ‘gotong’ tak?” Dia tanya saya tiba-tiba.

“Apa tu?” saya tak pernah dengar, saya tak pernah tahu, maka sangat patut saya tanyakan itu. Gotong saya tak tahu, gotong-royong saya tahulah.

“Ala,awak tanyalah mak ayah awak, tentu diorang tahu,” dia masih mahu berahsia dengan saya.

Saya tidak tanya terus, tidak mahu terburu-buru mahu tahu apa itu ‘gotong’. Tapi saya betul terkejut bila saya tahu ‘gotong’ tu perkataan Jawa. Maksudnya bonceng lelaki dan perempuan. Ah, kalau salah sila betulkan!


Kiranya kalau translate ni jadi : Say No to Gotong

Saya dan Dia

Jadi, kamu tahu saya pernah berkawan dengan siapa? Si Dia ini tak mungkin saya lupa. Haritu, hujung tahun 2011. Tiba-tiba saya teringatkan Dia. Dan saya terkejut, saya masih ingat nombor telefon rumahnya. Terus saja saya mendail laju. Ada suara lelaki yang kedengaran di hujung talian.

“ Hello, Zul ada?” sepenuh kekuatan saya bercakap.

“Apa? Zul?” ah, sudah. Tentu salah orang ini. Yalah, mungkin ingatan saya menipu, mungkin juga setelah 10 tahun berlalu, nombor telefon rumah telah berubah juga.

“Sekejap ye? Zul!!!!” saya mendengar jeritan nama Dia. Tapi,belum pun sempat saya mendengar suaranya, saya buru-buru menekan butang merah di telefon genggam. Saya cuak.

Usaha saya tidak terbantut di situ. Saya mahu telefon lagi. Saya tersenyum puas, rupa-rupanya Dia masih hidup. Alhamdulillah.

Saya telefon ke rumahnya lagi petang itu. Jam 4.25 petang. Ada suara wanita yang menyambut. Saya tahu itu emaknya, yang sungguh sporting. Emaknya khabarkan pada saya,

“Zul tak adalah, dia kerja. Petang sikit dia baru dia balik. Telefon malam nanti lah,” saya tersenyum lagi.

Akhir

Apalah khabar si Dia? Sudah bekerja itu bagus! Tapi kerja apa ya? Sudah berumahtangga atau belum? Kalau sudah, kenapa masih tinggal dengan keluarga, kalau sudah kenapa emaknya begitu sporting jika ada gadis yang menelefon ke rumah? Ah,macam-macam yang saya fikirkan.

Sampai di situ sahaja, saya tidak mahu tahu apa-apa tentangnya lagi. Cuma saya doakan Dia, moga-moga ALLAH beri hidayah kepadanya. Moga menjadi hamba Allah yang beriman, menjadi anak yang soleh, dan menjadi suami dan ayah yang mithali jika diizinkanNya nanti.

"Berdoalah kepada-Ku, Aku (Allah) akan memperkenankan doa pemohonan kamu.."

( 40: 60)



LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin