Saturday, July 31, 2010

Kalam Hati Part 2

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan Nama Allah,
Yang Maha Pengasih, Lagi Maha Penyayang.

“Untuk pengetahuan semua, ana merupakan anak kedua daripada 5 orang hero. Ana memang tidak pandai untuk berkomunikasi dengan muslimat. Ana tak pandai menjaga hati muslimat, ana tak biasa untuk bergaul baik dengan muslimat. Tapi..” dia berhenti lagi buat entah ke berapa kali.


Benar, antara mereka adik-beradik mereka tidak pandai untuk berlembut. Kerana yang kasar akan menang, yang tegas akan berkuasa, yang kuat menjadi juara. Dalam keluarga itu, dia terlalu kasihan akan ibunya. Ibu terlalu banyak mengalirkan air mata dek kerana kerenah anak-anak lelaki yang degil dan tidak mendengar kata. Begitu juga dengannya. Dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah, dia tidak pernah bergaul dengan kawan berlainan jantina. Bersekolah di sekolah yang kesemuanya pelajar lelaki benar-benar menjarakkan dirinya dengan insan yang bergelar perempuan. Begitu baik dan penuh hikmah perancangan Allah.


Satu petang yang hening, masih segar di ingatan. Adik bongsunya meninggalkan rumah selepas menghamburkan kata-kata yang mengecewakan hati seorang ibu. Ah, jiwa remaja yang memberontak akan kehendak yang terhalang mana mungkin mampu dilembutkan sewenang-wenangnya. Dia mendekati ibu, berkira-kira ingin mengelap mutiara yang gugur dari pipi insan yang amat disayanginya. Saat itu, pelbagai rasa bercampur baur, marah, sedih, kasihan bersatu dalam hati. Digenggam penumbuk dan ingin dihadiahkan khas untuk adik bongsunya andai wajah itu menerpa di hadapan muka. Saat itu, dia terlalu berdendam dengan adiknya, kesal kerana tidak punya kesempatan untuk menegur perilaku yang sungguh biadap. Wahai adik, andai kau tahu isi hati seorang ibu. Tentu kau tidak tegar melakukan sedemikian.


Menunggu kepulangan adik berhari-hari memberi kesempatan untuknya mengkoreksi diri. Sungguh, sikap adik merupakan cerminan dirinya sendiri. Dia sudah tidak mampu menghitung juraian air mata ibu atas kenakalannya sendiri. Dia tidak mungkin lupa ibu menahan tangis sewaktu dia dibebaskan dari lokap dek kerana bergaul dengan kaki motor. Dia tidak mungkin lupa akan merah mata ibu saat bertemu dengan kaunselor sekolah atas kesalahnnya merokok. Dia tidak mungkin lupa akan sendu ibu apabila pulang dengan badan lebam dan mata bengkak dek kerana bertumbuk dengan rakan sekolah.



Sejak hari itu, dia berjanji untuk meninggalkan segala kisah hitam yang perit untuk dikenang. Sejak hari itu, dia berazam untuk menjaga hati ibu. Baginya, hati perempuan itu terlalu lembut. Bukankah fitrah seorang wanita itu adalah sifat pengasih dan penyayangnya?


Kata ibu, perempuan itu lemah dayanya. Bantulah mereka di saat mereka perlukan pertolongan.

Kata ibu, perempuan itu, lembut hatinya. Tuturkan perkataan yang baik dan berperilaku sopan kepada mereka.

Kata ibu, perempuan tu mahal air matanya. Jangan sesekali perlakukan sesuatu yang bisa menumpahkan mutiara berharga itu.

Kata ibu, perempuan itu tinggi nilainya. Lindungilah mereka dari perkara-perkara yang membinasakan.


bersambung...


ImageChef.com - Custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin