Friday, April 17, 2009

Izzat lampard...

“Izzat !Izzat !” semua mata tertumpu ke arahnya. Sayup-sayup suara lantang itu menyelinap masuk ke dalam lubang telinganya. Namun, dia langsung tiada minat untuk mencari dari mana datangnya suara itu.

“Izzat, Izzat Lampard. Bangunlah! Wei, cikgu kat depan tu,” terasa tangan kanannya disiku, lantas matanya lambat-lambat dibuka. Dia cuba untuk menahan sakit kepala yang berat dirasakan tanggungannya. Dilihat kiri dan kanan, masing-masing menoleh ke arahnya dengan penuh minat. Dia pasti, guru muda yang baru beberapa hari mengajar di kelasnya mengamuk sakan akan sikapnya itu.

“Izzat, berdiri atas kerusi! Awak ni betul-betul melampau. Awak tahu kan tahun ni nak SPM, tapi sikap awak ni…,” guru muda itu menahan marah. Tiada kata-kata yang dapat diteruskan untuk mentafsirkan kemarahannya. Sakit benar hatinya melihat sikap sambil lewa Izzat.


Izzat mencebik. Dia benar-benar meluat akan keletah guru muda itu. Entah kenapa setiap kali marah guru itu memuncak, dia tidak dapat meneruskan kata-kata. Terasa macam semangatnya tiba-tiba hilang, lalu dia meninggalkan kelas begitu sahaja. Izzat benci insan begitu. Lembik! Benci, benci dan benci.

Itulah dia Cik Nurul Iman, seorang guru berwajah manis dan mengenakan tudung labuh setiap kali ke sekolah. Kali pertama Izzat memandangnya, Izzat terkesima buat seketika. Entah mengapa tingkahnya begitu di kala itu. Sangkanya, guru itu mengajar Pendidikan Islam tapi nyata meleset sama sekali. Guru lepasan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) itu merupakan seorang guru Kimia. Ah, peduli apa Izzat dengan taraf pendidikannya. Yang pasti, semakin hari Izzat semakin benci memandang wajah sakinah itu.

*****************************************

Minggu peperiksaan setara pertengahan tahun telahpun bermula. Kelihatan semua pelajar di kelas 5 Sains 1 sedang sibuk menelaah. Izzat kelihatan tenang tanpa memegang sebarang buku. Dia benar-benar tidak berminat untuk membaca pada saat itu. Lebih-lebih lagi, kertas Kimia yang perlu ditempuhinya selepas ini.

Tepat jam 8 pagi, semua pelajar diarahkan bersedia di tempat duduk masing-masing. Kertas soalan diedarkan. Izzat berdebar-debar. Dia tidak melakukan apa-apa persediaan untuk kertas itu.

“Ah, lantaklah. Biarlah aku failkan paper ni. Baru dia tahu dia tu bukannya bagus sangat. Ajar pun entah apa-apa, ada hati nak lecture aku,” hati kecil Izzat berbicara. Kebanyakan soalan dibiarkan kosong tanpa dijawab. Izzat tersenyum puas apabila kertas jawapannya dikutip. Gembira benar hatinya.

“Baiklah, pelajar. Sekarang kamu dibenarkan rehat,” Izzat cepat-cepat keluar meninggalkan kelas. Tidak sabar untuk menatap seraut wajah yang dirinduinya. Dia tercari-cari wajah itu di sebalik ribuan pelajar yang berpusu-pusu menuju ke kantin.

“Siti, Siti! Hari ini rehat dengan Izzat, ya!” pelajar yang dipanggil Siti itu menoleh lalu tersenyum.
“Eh, Izzat Lampard rupanya. Lama dah tak nampak muka. Mana pergi?” sedikit sinis jawapan yang diterimanya. Izzat sekadar tersenyum.

“Izzat dah belikan makanan untuk Siti. Jom kita makan kat sana,” pelawa Izzat sambil jarinya menunjuk ke arah kerusi batu, bersebelahan dengan bilik guru.

“Izzat Lampard belum jawab soalan Siti lagi. Mana pergi lama tak nampak?” Izzat bengang dipanggil sebegitu. Tidak nampak kemesraannya. Apa salahnya jika memanggilnya dengan nama Izzat sahaja. Tak perlulah menambah nama Lampard di belakang.

“Yalah, Cik Siti Rugayah. Izzat sibuk sebenarnya. Izzat baca bukulah, nak periksa..” kali ini Siti Rugayah pula yang makan hati. Dia tidak suka dipanggil begitu walaupun pada hakikatnya itulah nama yang tercatat dalam kad pengenalannya.

Pertama kali Izzat mendengar nama gadis itu, dia terbahak-bahak ketawa. Tetapi melihat wajahnya yang penuh dengan ketenangan, hati Izzat terusik. Lantas, dia mengerti yang hatinya telah benar-benar terpaut dengan kelembutan dan kemesraan gadis itu. Menurut Siti, nama Siti Rugayah diambil bersempena dengan nama doktor yang menyambut kelahirannya. Ibunya terpaut dengan kelembutan dan sifat baik hati doktor itu dan berhasrat untuk menamakannya Siti Rugayah. Akhirnya, hasrat ibunya itu menjadi kenyataan.

Itu adalah cerita berkenaan dengan nama gadis itu. Tapi, bagaimana pula dengan namanya. Kenapa semua orang gemar memanggilnya Izzat Lampard padahal namanya yang sebenar adalah Syed Mohd Izzat bin Syed Abdullah. Izzat pernah merisik-risik Azlan Shah, apa maksud gelaran itu.

“Takkan tak kenal Lampard. Frank Lampard. Pemain bola sepak Chelsea. Diorang gelar kau macam tu sebab muka kau sebiji macam Lampard. Budak handsomelah katakan,” masih segar di ingatan Izzat akan kata-kata Azlan itu. Mungkin benar tanggapan mereka. Izzat akui mata redup, hidung mancung dan bibir comel miliknya punya persamaan dengan pemain bola sepak terkenal itu. Cuma, Izzat berkulit sawo matang kerana dia berketurunan Arab. Hanya dengan nama gelaran itu, Izzat terkenal satu sekolah. ‘The most popular boy in the school’ kata mereka. Ramai yang memanggilnya Lampard hinggakan ada yang menyangka Lampard adalah nama
sebenarnya. Kelakar juga bunyinya namun hanya senyuman sahaja yang dapat diukir.


Izzat masih leka berbual bersama Siti Rugayah. Tiba-tiba, dia terasa seolah-olah ada sepasang mata yang sibuk memerhatikan gelagat mereka berdua. Izzat menoleh. Sah, Cik Nurul Imanlah orang. Tanpa membuang masa, Izzat cepat-cepat berlalu pergi.

**********************************************************

Selepas minggu peperiksaan berakhir, semua pelajar memulakan pembelajaran seperti biasa. Dalam tempoh lebih kurang dua minggu, pelajar-pelajar memperoleh kembali hampir kesemua kertas peperiksaan mereka. Ada yang gembira dengan markah mereka tetapi tidak kurang pula yang berduka lara. Bagi Izzat, inilah peperiksaan yang paling teruk pernah ditempuhinya. Baru sebentar tadi, dia memperoleh markah Kimia. Keputusannya, dia gagal seperti apa yang telah diduganya. Cik Nurul Iman pula kelihatan agak kesal dengan sikapnya. Izzat tetap buat muka selamba. Sesekali senyuman sinis dihadiahkan buat guru muda itu. Bagi kertas peperiksaan yang lain, hanya Matematik dan Pendidikan Islam sahaja yang boleh dibanggakan. Selebihnya, hanya cukup makan sahaja.

“Izzat Lampard, Cik Iman nak jumpa kau kat bilik guru sekarang juga,” beritahu Amir Syahid ketika mereka terserempak di pintu kelas. Izzat mengeluh.

“Alah, lecehlah. Ni mesti nak lecture aku lagi. Bencinya,” berkerut seribu dahi Izzat.

“Assalamualaikum, Cik Iman. Cik Iman nak jumpa saya, kan,” tegur Izzat sebaik-baik sahaja mendapatkan Cik Nurul Iman. Salam Izzat dijawab dengan tenang. Merdu suaranya, menusuk ke dalam sanubari Izzat. Izzat tak tahan.

“Apa halnya? Saya ada banyak kerja hari ni. Kalau boleh cepatlah sikit. Kalau nak bagi ceramah, saya rasa saya tak perlu itu semua. Saya dah tahu apa yang Cik Iman nak cakapkan,” Izzat bercakap dengan nada yang agak kasar. Matanya melilau ke kiri dan kanan, seolah-olah guru muda itu tidak wujud di hadapannya.

“Izzat, boleh tak awak berbahasa dengan saya? Cuba hormat saya sebagai cikgu awak. Mana akhlak awak sebagai seorang muslim? Macam ni ke teladan yang awak nak tunjukkan kat semua orang?” bertubi-tubi soalan yang keluar daripada bibir mungil guru itu. Izzat tetap seperti tadi. Selamba. Malas hendak melayan soalan yang dianggap remeh itu. Memandangkan tiada respon positif daripada Izzat, dia meneruskan kata-katanya.

“Kenapa awak fail dalam kimia? Awak pelajar kelas pertama tau. Sepatutnya tiada siapa pun yang boleh fail. Saya dah check result exam awak tahun lepas. Boleh dikatakan kesemuanya memuaskan. Tapi kenapa dengan paper kimia awak untuk exam kali ini? Paper lain pulak banyak yang merosot. Apa dah jadi dengan awak ni, Izzat? Awak ada penjelasan untuk perkara itu? Beritahu saya apa problem awak. Awak sengaja failkan paper kimia, kan! Ataupun awak dah tak berminat nak belajar sebab awak lebih berminat dengan benda lain?” sungguh-sungguh Cik Nurul Iman mengeluarkan pendapatnya. Izzat kurang faham akan maksud sebenar kata-kata guru itu.

“Apa maksud Cik Iman? Saya tak faham,” panas hatinya melihat sikap gurunya itu. Izzat menjeling tajam.

“Jangan kerana perempuan, awak leka dan abaikan tanggungjawab awak,”

“Apa kena dengan Cik Iman ni. Tak ada perempuan yang dapat mengubah pendirian saya. Kalaupun saya berubah, itu kehendak saya sendiri,” Izzat bengang. Sejak dari tadi, wajah putih bersih Cik Nurul Iman tidak dipandangnya. Sedikit rasa kurang senang untuk menjamah wajah ayu guru itu.

“Habis tu, apa problem awak? Pandang saya apabila bercakap dengan saya,” Izzat mengeluh lagi. Nampaknya, Cik Nurul Iman belum tahu lagi panahan matanya boleh buat ramai perempuan angau sendiri. Nak cari nahas agaknya guru muda ini. Izzat mengarahkan matanya, memandang tajam mata Cik Nurul Iman. Pandangan mereka bersatu. Buat seketika, Izzat resah. Mata Cik Nurul Iman yang bundar, alis mata yang tebal dan bulu mata yang lentik itu menyebabkan suatu perasaan ganjil menyelinap dalam diri Izzat. Seakan sepasang mata milik Cik Nurul Iman bisa menggetarkan nalurinya.

Terasa pernah dilihatnya mata itu. Tapi, Izzat kurang pasti siapakah gerangannya yang
mempunyai mata sebegitu. Makin lama makin tak tahan Izzat dibuatnya.

“Tiada jawapan untuk soalan Cik Iman. Maafkan saya. Saya minta diri dulu,” Izzat kemudian berlalu pergi. Hatinya tak tenteram sejak itu. Dia mencari-cari dalam disket memori komputer otaknya. Siapakah gerangan yang memiliki mata sebegitu rupa? Yang nyata, senyuman, mata, gaya percakapan dan gelak tawa Cik Nurul Iman seakan pernah dilihatnya sebelum ini. Buat kali pertama Izzat tidak dapat melelapkan mata hanya kerana seorang wanita. Hanya wajah guru itu sahaja yang menembusi ruang khayalannya kini. Kata-kata lembut guru itu pula sering mengganggu konsentrasinya.


Izzat benar-benar keliru dengan perasaanya. Adakah hatinya dengan begitu mudah
diserahkan untuk gadis bertuah itu? Ah, sukarnya untuk menafsirkan perasaannya kini.

*************************************

Seminggu selepas itu, Izzat bertemu lagi dengan Cik Nurul Iman. Kali ini atas kehendaknya sendiri, bukannya terpaksa.

“Cik Iman, Izzat nak minta maaf kat Cik Iman. Izzat kurang ajar dengan Cik Iman. Mulai sekarang, boleh tak Cik Iman bantu Izzat untuk bangun semula?” tenang Izzat mengeluarkan kata-kata. Direnungnya mata bundar guru itu. Serta-merta muncul semangat baru dalam dirinya.

Respon yang baik diterima Izzat. Cik Nurul Iman mengukir senyuman dan mengucapkan syukur kepada Tuhan atas perubahan anak muridnya itu.

Bermula tika itulah, Izzat rapat dengan Cik Nurul Iman. Hubungannya dengan Siti Rugayah pula sudah mula meregang. Izzat cuba mengelak setiap kali bertemu dengan gadis itu sehinggalah Siti Rugayah mengalah akhirnya. Dibiarkan Izzat berlalu pergi tanpa memberi sebarang alasan munasabah kepadanya.


Izzat tidak seperti dulu lagi. Setiap hari penuh dengan aktiviti membaca, mengulangkaji dan latih tubi. Ketekunan dan kesungguhan Izzat amat luar biasa. Bagi Cik Nurul Iman, sukar untuknya bertemu dengan pelajar yang mempunyai semangat kental seperti Izzat.

*************************************************

Keputusan peperiksaan SPM diumumkan hari ini. Izzat bergegas ke sekolah untuk mendapatkan keputusannya. Izzat benar-benar terkejut. Alhamdulillah, dia berjaya mencatatkan keputusan 11 A1.

Izzat tercari-cari wajah yang dirinduinya. Cik Nurul Iman menitiskan air mata sebaik-baik sahaja menerima berita gembira itu. Sesungguhnya, Izzat benar-benar rindukan mata itu. Baru dia sedari, mata bundar yang dimiliki guru muda itu seiras dengan mata arwah ibunya. Mata itulah yang dirinduinya sejak lima tahun dahulu. Atas dasar itulah, Izzat menanamkan motivasi dan semangat dalam dirinya. Dia tidak mahu harapan arwah ibunya lima tahun dulu hanya tinggal harapan. Di kala ini, dia amat rindukan arwah ibunya. Pasti, ibulah orang yang paling gembira atas kejayaannya. Tapi sayang, ibunya pergi terlebih dahulu. Nyata, Allah lebih sayangkan ibunya.

Nama Izzat Lampard heboh diperkatakan buat kali kedua. Kali ini, bukan ketampanannya yang dipertaruhkan tapi kecemerlangannya menjadi sebutan. Izzat bersyukur ke hadrat Ilahi. Takkan dilupakannya nama Izzat Lampard yang membawa tuah dalam hidupnya.

Teh Hijau dan Aku??


Bebas. Itulah perkataan terbaik apabila aku duduk di rumah. Bebas untuk menikmati sebarang hidangan. Tiada sekatan. Aku hanya perlu menuju ke dapur dan nah… buatlah apa yang patut. Kenyanglah perut nanti. Kat rumah ni memang aku makan banyak. Sekali makan banyak kali tambah, lepas tu makan banyak kali dalam sehari. Allah masih sayangkan aku. Dia bagi aku sakit perut hari tu. Sakitnya perut. Aku pun tak tahu kenapa. Aku seorang je yang sakit perut. Ayah nampak steady je. Makan cili api agaknya. Dan semenjak dua menjak ni aku dah tak tahan pedas. Pelik tapi benar. Kenapa ye?


Ish.. itu tak penting. Yang penting sekarang, kenapa aku sakit perut? Food poisoning ke? Microbe ape agaknya yang menyerang perut aku ni hingga menyebabkan aku mengalami diarrhea ? Poor food handling la ni agaknya. Banyak kali keluar masuk tandas. Sampaikan ayah pun tegur. Aku mengadu kat ayah, sakit perut. Mood pun macam tak okey. Sebab rasa dah tak tahan. Ya ALLAH, lemahnya iman aku. Allah baru bagi sakit sikit je dah merungut sampai macam ni. Nikmat yang Allah berikan tak hingga banyaknya sampai tak sempat nak mengucap syukur takde pulak nak sebut2. Fitrah manusia, sentiasa merasa tidak cukup. Last2, ayah suruh buat teh pekat. Malas. Malas nak buat. Tapi sebab taknak susahkan orang lain dan aku sayangkan perut aku, aku pun buatlah teh pekat seperti yang disyorkan. Betul2 pekat. Dua uncang teh untuk satu mug saiz biasa. Biar betul aku ni. Agak pahit tapi kutelan jua.


Dengan kuasa dan izin ALLAH, perut aku sihat kembali seperti sedia kala. Aku memanjatkan rasa syukur. Terkejut dan taksub dengan keajaiban ini. baru aku berkira2 nak puasa. Of course la sakit perut ni sebab perut aku dah tak tahan nak bekerja. Asek proses makanan 24jam je. Mesti perut aku nak rehat. So, kenalah puasa. Ye tak? Tapi, nampaknya aku masih berkira2 untuk berpuasa atau tak lah nampaknye lepas ni. Disebabkan ketakjuban terhadap keajaiban ALLAH tersebut, aku tertanya2 apa sebenarnya khasiat teh sampaikan penyakit perut aku boleh hilang sekejap je. Persoalan aku terhenti selama seminggu lebih. Aku tak dapat jawapan. Ingat nak search kat internet. Tapi, tak dapat online. Akhirnya persoalan aku terjawab. Suka untuk aku kongsi bersama sahabat2.

Camellia Sinesis

Teh hijau ataupun juga dikenali dengan nama Camellia Sinensis memang mempunyai pelbagai khasiat. Telah lama diketahui bahawa the hijau dapat membunuh bacteria. Pengambilan teh hijau yang pekat dapat merawat penyakit cirit-birit. Dalam teh hijau mengandungi catechin yang berfungsi sebagai agen pembasmi kuman ketika berlakunya keracunan makanan. Selain itu, teh hijau juga adalah pembasmi kuman yang paling kuat terhadap cholera vibrio kerana ianya mempunyai kesan anti toksik dalam toksin yang dihasilkan oleh bacteria selain daripada kolera.



Selain itu juga terdapat 3 lagi khasiat teh hijau iaitu dapat menurunkan berat badan, mencegah penyakit kanser dan menurunkan tahap gula dalam darah. Satu penyelidikan yang dibuat oleh International Journal Of Obesity telah menyimpulkan bahawa ekstrak teh hijau boleh meningkatkan pembakaran kalori dan lemak yang diperlukan untuk menurunkan berat badan. Ekstrak teh hijau meningkatkan termogenesis, pembentukan panas tubuh hasil daripada pencernaan normal, metabolisme dan penyerapan makanan. Dalam penyelidikan terdahulu terhadap manusia menunjukkan bahawa mengambil teh hijau boleh meningkatkan termogenesis. Teh hijau berbentuk cair atau kapsul mungkin merupakan cara berkesan untuk membantu menurunkan berat badan. The hijau didapati dapat mencegah kanser melalui satu penyelidikan percubaan the hijau terhadap haiwan sejak 20 tahun lalu. Sejak itu, teh hijau dipercayai dapat mengurangkan risiko kanser esophagus, paru2, payudara dan penyakit jantung.



Kira2 60 tahun lalu, Dr Monowada dari Universiti Kyoto telah mendapati gula dalam air kencing penyakit diabetes telah turun ketika mereka mengambil bahagian dalam chanoyu ( upacara minum teh ). Dia menyatakan bahawa serbuk the yang digunakan dalam upacara tersebut mempunyai keupayaan untuk mengurangkan gula dalam darah.


*Sumber dari majalah dara.com edisi 61 – Julai 07, m/s 85.

Cerita HATI ini...

Dah lama rasanya aku tak jenguk blog ini. Kesian blogku, takde siapa nak jenguk. Menghitung hari menjelang peperiksaan akhir. Entah macam mana persediaanku. Aku cuba untuk mempersiapkan diri di saat jarum jam dirasakan pantas berputar.

Bak kata Huda selepas balik dari program solat hajat tadi, dia gembira. aku? gembira jugak kot. cuma apabila terpandang wajah sahabat-sahabat... yang aku banyak sangat buat dosa dengannya... terasa nak mintak maaf tapi biasalah ego dalam diri. tak mampu untuk diluahkan. Aku hanya mampu ambil jalan mudah, setiap kali dalam doaku, aku selitkan nama itu. moga suatu hari nanti aku tidak lagi menyimpan sebarang sifat mazmumah dalam diri ini.

Maafkan aku sahabat. maaf andai selama ini aku terlalu membebanimu, maaf andai selama ini aku menyusahkan hatimu, maaf andai perilaku diri ini membuatkan kau gelisah.. kerana aku insan biasa, mudah dan kerap kali membuat dosa...


Aku insan kerdil lagi hina. Bisa dan terlalu kerap melakukan dosa tanpa aku sedar. ya ALLAH, ampunilah hambaMu ini. Tiba-tiba aku teringat lagu Hijjaz - RINDU.










Tegasku disini, payah untuk menerima perkataan itu. Hanya ALLAH
yang tahu.
Jangan bicara tentang rindu andai tak sanggup merasai deritanya...

Friday, March 27, 2009

Aku bukan Anti-Bio

~kena ubah mind setting ni...~

tensennye blaja BIOKIMIA. Rasa macam nak muntah n pitam n segala2nya jela bila sebut biokimia. huhuhu. Haritu masuk kelas, fikiran melayang mengenangkan result yang entah apa2 tu. dah aku ckp dah, aku xde bakat dlm subjek2 yg ade bunyi bio ni. contohnya, biologi, biokimia, mikrobiologi, lagi2 bioteknologi. naseb baik la.....

tak tahu nak buat macam mana lagi dgn subjek kebio-bioan ni. pesimis sangat2. entah apa la yang boleh mengubah mind setting ni. kalau dulu kat sekolah, subjek bio la yang paling merimaskan. tapi blaja jugak. time kat matrik dulu, ingatkan taknak dah amek hayat tapi dpt tu jugak. dapat yang tak nak tu jugak. seperti yang termaktub dalam al-Quran...

"...boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui"

(Al-Baqarah : 216)
Kena sedar yang sebenarnya Allah yang maha mengetahui segala2 yang terbaik untuk hamba2Nya. siapalah kita untuk mengatakan itu dan ini sedangkan kita hanya mampu merancang tapi ALLAH Maha membuat rancangan dan perancangan ALLAH yang terbaik.

aku pun amek keputusan untuk teruskan jugak berada di kelas hayat memandangkan kelas fizikal dimajoritikan (sesuka hati je buat ayat) oleh kaum lelaki. mula2 sem tu, result bio la paling teruk, bak kata orang menghampehkan. aku terduduk sayu. entah ape la yang aku dah buat untuk paper bio. naik je sem 2 kat matrik, aku pun buat strategi n perancangan baru. nota kuliah pun wat style baru n mcm2 lagi la perancangan yang baru. nk dikatakan sem2 lagi rajin, tak dok pun. sme je rsenya. tapi, ku gagahkan jua untuk menempuhi sem tersebut. taram jela, alang2 dah masuk sem2 buat jela yang mampu. pulak tu blaja bio dengan cikgu yang tak pernah bagi peluang kat anak murid dia utk salin. blaja pasal kingdom2 plak tu. entah ape entah, aku tak ingat dah. ala, yang blaja ade 5 kingdom tu. fungi, animalia, dan lain2 tu fikir sendiri la(sesuka hati aku je wat fakta baru). lagila rse makin menyampah nak blaja bio. aku pun main sebat je time jawab exam bio final kat matrik tu. bantai jela apa yang patut. lepas dariapada exam tu, aku rajin banyak. aku tak lupa untuk mintak ALLAH berikan kejayaan kepada diri ini.

tup..tup..dengan kuasa ALLAH, result aku diluar jangkaan (tp xdelah best sgt, untuk aku yg entan pape ni op kos la best. syukur). dan yg berada di luar kotak jangkaan, of kos la BIOLOGI. X sangka Biologi aku setarap dengan math. Yang penting, jangan lupa panjangkan pergantungan dengan ALLAH S.W.T. Kuasa ALLAH. aku dapat senyum je time tu sambil hati ini tak putus2 ucap syukur. ish, aku cte ni macam best je, macam dapat 5.0 flat je. sebenarnya cte ni xbest pun. salah mengayat rsenya aku ni.

cuma sebenarnya bila mengingatkan kondisi Biokimia aku yang semakin teruk dan merudum ni, membuatkan aku tercari2 kembali fail memori kabinet otakku yang usang ini. apa agaknya rahsia aku blaja kat matrik dulu? ikhlas kot...

~AKU BUKAN ANTI-BIO~

Tuesday, March 10, 2009

Johor yang kusayangi...

~sayangkan bumi Johor~

entah kali ke berapa aku menyebutnya. di hadapan rakan-rakan, sudah tentu hinggakan mungkin ada yang panas telinga mendengarnya. aku terkesan dengan program yang aku attend petang tadi. rasa seronok walaupun kehadiran aku tidak menyumbang apa-apa. kalau ingin dibandingkan Johor dengan negeri-negeri lain, apa lebihnya. aku hanya mampu menggaru kepala mungkin. ada ke tempat peranginan yang sesuai dijadikan destinasi pelancongan seisi keluarga? mungkin tiada lebih2 lagi di daerah kelahiranku. pantai yang tak berapa nak bersih tu jugak tempat kami pergi. bukan best pun...




aku punya azam sebenarnya.. untuk melihat bumi Johor ini berubah dari apa yang sedia ada sekarang. aku harap ada yang dapat membantu. mungkin dalam dua tahun lagi aku mulakan misi aku ni. lama lagi tu tapi sebenarnya pejam celik pejam celik rasa sekejap je.. aku tak tahula apa yang akan berlaku pada aku lepas graduate nnt. kat universiti berkobar2 semangat, tapi bila pulang ke kampung halaman masing2 apa yang aku buat. silap2 down sendiri. sekarang ni pun aku selalu buat perkara yang tak dek pekdah. xde motivasi langsung.

aku baru sedar aku ni spesies apa. aku tak pandai nak zahirkan isi hati aku. sebenarnya bukan ni yang aku nak tulis dalam blog. bila baca balik apa yang aku dah taip aku rasa tak sama dengan apa yang ada dalam hati aku. sebab tu la orang tak paham aku. masalah besar ni. mungkin kurang idea. aku bukan macam kat sekolah dulu. bila buat karangan je, ade je benda yang melintas kat kepala otak aku. banyak dosa kot. susah ALLAH nk bagi ilham..

rase takde mood pulak nak teruskan post ni. jumpa lagi lain kali..

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin