Sunday, February 22, 2009

Ironi Kasih


“Daniel, kau suka kat Zulaikha ke?” soalan yang tidak disangka-sangka terbit dari mulut Adam Najih benar-benar membuatkan Ahmad Daniel tersedak. Terasa seolah-olah ada batu besar menghempap dadanya. Sesak.

“Eh, kenapa Abang Adam tanya macam tu? ” jawapan yang terpaksa dibuat-buat. Kononnya tenang.

“Abang tengok kau dengan Zulaikha tu kalau jumpa masing-masing pandang satu sama lain. Pandangan yang luar biasa pulak tu. Korang ni ada apa-apa ke? Korang bercinta dalam senyap eh?” Daniel tergelak dalam hati. Lucu. Lucu yang amat.

“Mana ada, bang. Merepek jelah abang ni. Tapi, kalau saya dengan kak Zulaikha tu ok ke?” Daniel berseloroh lagi. Sengaja mahu melihat reaksi Adam Najih.

“Silakan..” jawab Adam Najih acuh tak acuh.

“Abang Adam, nak tanya sikit. Abang dengan Kak Zulaikha tu bergaduh ke? Saya tengok abang kalau nampak dia macam tak suka je. Kak Zulaikha tu pun sama. Kenapa bang?” Daniel merenung mata Adam Najih dalam-dalam.

“Perempuan dan lelaki ni adalah spesies yang amat berbeza. Mereka saling tak memahami antara satu sama lain. Macam mana nak satukan dua individu yang berbeza ni? Ya, komunikasilah jawapannya. Dulu kitorang pernah bekerjasama. Antara kami, tiada komunikasi. Komunikasi kitorang tak berkesan. Kalau ada tak puas hati, sepatutnya bawa berbincang. Ini tidak, simpan dalam hati lepas tu mengata kat belakang. Tu sebab utama kami tak sebulu. Dia tu ego, berlagak. Macam bagus sangat je. Dia ingat dia je yang betul. Banyak sangat main dengan emosi. Tak professional langsung. Kalau ikut hati abang, dah lama dah..” Ucapan Adam Najih terhenti di situ. Daniel sakit hati. Ikutkan hati, mahu sahaja dia menumbuk lebam muka lelaki yang berada di hadapannya.


*******************************

Daniel memandang mata bundar itu dengan ekor matanya. Takut. Itulah perkataan terbaik. Mata bundar itu memandang tajam ke arahnya. Daniel tak faham atas kesalahan apa dia diperlakukan sebegitu. Mungkin disebabkan perbualan telefon seminggu lalu.

“Daniel, kan angah dah bagitahu. Jangan rapat dengan Adam tu. Daniel tak faham ke?” suara berintonasi marah kedengaran di corong telefon. Daniel kaget.

“Tapi angah, kenapa tak boleh Daniel nak berkawan dengan Abang Adam tu? Dia tu baik ape. Handsome, warak, pandai. Mana tahu kalau nasib baik, dia boleh jadi abang ipar Daniel,” Daniel sengaja berseloroh.

“Hei, kau jangan nak merepek Daniel. Dia tak mungkin kahwin dengan angah. Sekali lagi kau merepek macam ni, angah sepak kau. Faham?” Daniel terdiam. Tak pernah kakaknya itu menggunakan bahasa kasar ketika berbicara dengannya. Ini kali pertama, nampak marah benar.
“Yalah. Daniel tahu dia bukan taste angah. Siapa cakap angah nak kena kahwin dengan dia supaya dia jadi abang ipar Daniel? Takkan dia nak kahwin dengan along pulak kan? Abang Adam kan ada adik perempuan. Mana tahu Daniel boleh try,” talian diputuskan. Daniel tergelak dalam hati. Kakaknya tentu bengang.

Apa masalahnya kalau dia berkawan baik dengan Adam Najih, satu-satunya senior yang amat mengambil berat tentang dirinya? Adam Najih seringkali mengajaknya untuk mengikuti setiap program anjuran fakulti, anjuran universiti, mengikuti program ilmiah, program keagamaan. Tapi kakaknya? Jangan harap. Sesuatu yang ganjil. Bukankah kita sepatutnya mengamalkan amar makruf nahi mungkar? Bukan mahu mengajaknya ke arah kebaikan, malah melarangnya berkawan dengan Adam Najih yang baik itu. Ini semestinya telah songsang dari konsep sebenar. Kakaknya itu kerap kali berpura-pura tidak menyedari kehadiran Daniel sungguhpun jarak mereka dipisahkan beberapa inci sahaja. Memandangnya pun tidak mahu, inikan pula mahu menegur.

Daniel cepat-cepat meninggalkan kafetaria fakulti. Takut-takut nanti jelingan tajam pula yang dihadiahkan kakaknya. Daniel sendiri tidak mengerti apa yang terjadi antara Adam Najih dan kakaknya itu.

***********************************

Zulaikha melangkah masuk ke bilik mesyuarat persatuan. Kelihatan dua orang juniornya sedang berbual kosong. Syahidah dan Aziera, memang pantang dilihat berdua. Pasti ada sahaja bahan untuk dijadikan cerita. Memandangkan banyak lagi kerja persatuan yang masih tertunggak, Zulaikha membatalkan niatnya untuk menyertai perbualan mereka berdua. Zulaikha terus melabuhkan punggung di kerusi berdekatan dan menumpukan sepenuh perhatian kepada komputer ribanya. Konsentrasi tangan yang sedang mengetuk papan kekunci komputer riba diganggu oleh perbualan dua pelajar perempuan itu. Zulaikha memasang telinga.

“Syahidah, Daniel tu cute kan? Suka tengok dia. Dia selalu bagi tazkirah lepas maghrib kat kolej. Kata-kata dia memang menusuk kalbuku. Kau tahu, budak-budak kolej aku ramai yang syok kat dia, ” suara Aziera yang berkaca mata itu memecahkan kesunyian bilik mesyuarat tersebut.
“Hah. Aku setuju sangat dengan kau. Dia dengan perempuan pun malu-malu je aku tengok. Cutelah. Susah nak cari lelaki macam tu sekarang ni kan?” kali ini Syahidah si muka bulat pula memberikan hujahnya.

‘Apahal budak-budak ni cerita pasal adik aku. Tak ada orang lain ke nak minat? Minatlah kat Adam tu ke, kata handsome sangat. Kenapa adik aku tu jugak diorang nak minat?’ bebel Zulaikha dalam hati. Sakit benar hatinya hinggakan rasa itu diterjemah ke wajahnya.

Tiada siapa sangka Ahmad Daniel Yusof dan Siti Zulaikha Yusof adalah dua insan bersaudara. Ahmad Daniel yang tinggi lampai, susuk tubuh yang sederhana kurus, bermata kecil dan kuyu, bermuka bujur dan berkulit sawo matang manakan seiras dengan Siti Zulaikha yang bermata bundar, alis mata tebal, berkulit kuning langsat, bermuka bulat, sederhana tinggi dan kurus.

“Kak Zulaikha, kenapa akak berkerut-kerut macam tu? Ada masalah ke?” Syahidah memuntahkan persoalan.

“Eh, tak adalah. Akak okey je, jangan risau,” selindung Zulaikha di sebalik senyuman yang manis.

********************************

“Daniel ni benda kecil pun nak gaduh. Kesian kat angah tu. Cubalah mengalah sikit. Angah tu dahlah kurus, Daniel pukul sekuat hati. Daniel lelaki Angah perempuan. Janganlah buat dia menangis lagi. Sedih Umi tengok. Daniel tak kesian kat angah ke? Angah tu basuhkan baju, iron baju sekolah Daniel, kemas rumah, masak, semua dia buat. Kalau umi suruh apa je terus dia buat. Daniel tu nak tolong umi pun susah,” setitis air mata ibu mengalir jua. Daniel kaget.

Sejak hari itu, Daniel pegang erat kata-kata ibunya. Dia tidak akan membiarkan ada titisan air mata mengalir dari tubir mata kakaknya. Pernah suatu ketika, Zulaikha pulang dari sekolah dengan muka yang sembab dek kerana subur dengan aliran air mata. Daniel merasai keperitan yang ditanggung kakaknya. Malangnya keperitan itu tidak dikongsi bersama hingga memaksa Daniel mencari jawapannya dari rakan baik Zulaikha, Umairah. Menurut Umairah, Zulaikha gaduh besar dengan Amir Ridzuan. Daniel berang mendengarkan itu. Dihadiahkan sepak terajang teristimewa buat Amir Ridzuan keesokan harinya. Puas hatinya walaupun terpaksa menanggung hukuman atas kesalahan yang sengaja dilakukan itu. Tambahan pula, abang sulung mereka Ahmad Syuaib baru sahaja terbang ke kota Mesir melanjutkan pelajaran tika itu. Terasa tanggungjawab menjaga adik beradik yang lain berada di pundaknya. Itu kisah lima tahun dahulu. Tapi kini?

Entahlah, Daniel tak faham dengan sikap kakak tunggalnya itu. Dahulu mereka tidak begini. Sebelum ini mereka memang rapat, makan bersama, membeli belah bersama, memandu bersama dan bergurau senda bersama. Indah rasanya saat itu.

Daniel masih teringat akan amaran kakaknya sebaik sahaja mengetahui Daniel ditawarkan di universiti yang sama.

“Kalau Daniel dah masuk UPM nanti, Daniel jangan mengaku angah ni kakak Daniel. Kita buat macam kita ni tak pernah kenal. Faham? Dulu angah terlupa nak ingatkan Daniel supaya jangan apply UPM, jangan apply fakulti ni. Lepas ni jangan selalu sangat tegur angah kat fakulti. Angah tak suka, ingat?” masih lagi terngiang-ngiang kata-kata itu di cuping telinganya. Sejak itu, Zulaikha terus berubah. Pelik.

*******************************

Zulaikha tidak dapat menumpukan perhatian dalam kuliah Prof Faris pagi itu. Kata-katanya langsung tidak didengari malah dipermainkan pula. Geram. Geram dengan insan yang bernama Ahmad Daniel itu. Fikirannya melayang mengenangkan perbualan dua pelajar juniornya petang semalam. Tidak disangka adiknya itu mempunyai peminat tersendiri. Adik kesayangannya, sebetulnya. Zulaikha benar-benar sayangkan Daniel. Jarak umur mereka yang hanya setahun membuatkan mereka lebih rapat. Benar waktu kecil mereka memang suka bergaduh. Pantang ada perkara yang tak memuaskan hati, pasti pergaduhan besar meletus. Ibu suka menyebelahi Zulaikha, itu yang pasti. Sejak melangkah ke alam sekolah menengah, hubungan mereka semakin baik. Masing-masing berebut untuk beralah. Zulaikha ada sebab tersendiri dia berkelakuan begitu sekarang.

“Kenapa Waheeda suka bercerita pasal abang dan adik dia ye? Aku tak suka dengarlah. Aku pun ada abang, ada adik, ada kakak. Tapi adik beradik aku tak ada apa yang boleh dibanggakan. Aku tahulah abang aku rock, abang dia warak. Kakak aku lepasan SPM je, akak dia master. Adik aku otai, adik dia budak surau. Aku kecil hati dengar cerita-cerita dia. Setiap kali dia bercerita, seolah-olah dia menyindir adik-beradik aku. Sedih,” masih segar lagi di ingatan Zulaikha akan kata-kata Syafiqa yang sayup-sayup kedengaran itu.

Bukan dia tidak mahu memperkenalkan Daniel kepada kawan-kawannya. Malu mengaku Daniel sebagai adiknya, jauh sekali. Cuma satu sahaja yang ada dalam hatinya kini. Dia tidak mahu berbangga-bangga dengan adik lelakinya itu. Itu sahaja. Takut-takut ada hati yang terguris. Dia malu untuk menceritakan kebaikan adik mahupun abang sulungnya. Sungguhpun banyak kelebihan yang boleh dikagumi dari kedua-duanya tapi bagi Zulaikha dia akan bersikap tidak adil. Salah satu bentuk diskriminasi, katanya. Dia bukan sahaja punya seorang adik malah dua. Adik bongsunya, Ahmad Uzair tidak mengikut jejak Ahmad Daniel mahupun Ahmad Syuaib. Kedegilan Uzair amat memeningkan kepala.

Dahulu Daniel juga nakal, tapi dia berubah juga akhirnya. Uzair amat berbeza. Keluar malam, merempit, berpeleseran dengan budak-budak nakal merupakan aktiviti sehariannya. Walaupun sudah banyak kali ibu dan ayah menegur, dia tetap sama. Itu belum lagi ditanya tentang solat dan puasanya. Zulaikha hanya mampu menggeleng kepala. Sekadar itu sahaja kudratnya. Bukan tidak pernah menegur, malah ditengking pula. Hanya Daniel yang mempu berdiplomasi degan Uzair setakat ini. Apa perasaan Uzair kalau-kalau dia terdengar betapa bangganya Zulaikha akan kewarakan Syuaib dan kebijaksanaan Daniel? Tentunya dia rasa rendah diri. Jauh di sudit hati Zulaikha, dia berdoa moga-moga hati adik bongsunya itu diberi sentuhan hidayah oleh Allah S.W.T suatu hari nanti.


*************************************

Zulaikha cuak. Pesanan ringkas yang diterima benar-benar membuatkan jantungnya berdegup pantas. Apa yang berada di mindanya hanyalah untuk sampai cepat ke destinasi. Setibanya Zulaikha ke Hospital Serdang, dia terus menuju ke wad yang dimaksudkan. Kelihatan ramai orang yang dikenalinya di situ. Adam Najih pun ada, buat menyakitkan mata sahaja. Tiba-tiba matanya pedih sesedih hatinya. Sedih melihatkan insan yang terlantar di katil hospital itu. Mata bundarnya hanya menunggu saat untuk merembeskan cecair. Akhirnya cecair putih jernih itu tumpah mengalir di pipi mulusnya.

Semua yang ada di situ terkesima melihat Siti Zulaikha. Kenapa perlu dia menangis penuh perasaan? Daniel bukanlah cedera parah, cuma tangannya patah dan sedikit kecederaan di muka, pinggang dan lengan akibat terlibat dengan kemalangan jalanraya. Adam Najih memandang sinis, sah mereka ada hubungan. Tidak perlu lagi sebarang penafian. Tidak semena-mena Zulaikha merapati birai katil. Digenggamnya tangan Daniel yang tidak sedarkan diri itu. Semua mata yang memandang terkejut melihatkan adegan itu. Apa sebenarnya yang berlaku?

“Daniel, angah datang ni dik,” bisik Zulaikha perlahan. Semua yang ada di situ mengurut dada. Tiada lagi rahsia selepas ini. Daniel membuka mata perlahan-lahan. Segaris senyuman terbit dari bibir Daniel sambil tangannya menyeka air mata daripada terus tumpah di tubir mata Zulaikha.

“Angah, akhirnya angah datang jugak. Akhirnya angah ngaku jugak Daniel adik angah depan semua,” Zulaikha tergelak dalam tangisnya. Cubitan manja dihadiahkan buat Daniel. Daniel mengerang sakit. Manja.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin