Wednesday, January 4, 2012

Oh Salwa

سم الله الرحمن الرحيم
Dengan Nama Allah,
Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani.

Salwa I

Sudah lama saya tidak beramah mesra dengan mereka. Sesekali berjumpa dalam majlis keraian begini, saya takkan lepaskan peluang. Saya peluk-peluk mereka, saya cium pipi mereka, saya tanya soalan-soalan kepada mereka. Saya mahu mereka kenal saya siapa, terkadang saya pula yang keliru mereka siapa. Muka hampir sama.


ulya, hanin, salwa


Maka pada hari itu, saya duduk dengan mereka. Bersembang apa yang patut, setiap dari mereka mendapat soalan yang sama. Biarpun apa yang saya tanyakan itu, bukanlah benar-benar mahu saya tahu. Sekadar berbasa-basi.

Saya mencangkung, meletakkan kedudukan dan ketinggian hampir sama dengan mereka. Sebetulnya, saya sudah penat berdiri. Saya bahagia melihat mereka. Sungguh!! Melihat senyuman pun sudah cukup membuatkan saya bahagia, apatah lagi mendengar keletah mereka.


Salwa II

Tiba-tiba, datang seorang jejaka. Tanpa diundang barangkali. Mungkin, demi melihatkan kemesraan kami beliau rasa terpanggil juga untuk sertai. Derapan kakinya semakin hampir, tapi derapan itu jugalah buat hati saya berdebar menggila. Entah kenapa?

Saya tidak betah begitu, maka sesuatu yang tidak sepatutnya keluar dari mulut saya.

“Salwa, siapa ni?” soal saya pura-pura., telunjuk mengarah kepada jejaka itu.

Soal saya kepada si comel Salwa bertanyakan tentang kehadiran jejaka yang entah sebenarnya diundang bertandang atau tidak itu. Soal saya itu bukan niat apa-apa. Saya sebenarnya mahu menafikan debaran hati. Saya sebenarnya mahu si jejaka itu tahu saya tiada niat apa-apa. Saya sebenarnya mahu si jejaka itu tahu saya tidak gemar diganggu.

Saya buat muka selamba. Harapan saya hanya satu. Saya berharap si comel Salwa akan menjawab begini.

“Itu pak cik Salwa,” ataupun mungkin,

“Itu Achik la, tak kenal ke?” ataupun mungkin juga begini,

“Itu bakal suami mak cik,” sambil Salwa merujuk ‘mak cik’ itu adalah saya. Ahh!!!


Salwa III

Tapi, tidak ada satu skrip di atas pun yang Salwa ucapkan. Salwa jawab,

“Itu ayah kita lah,” sungguh-sungguh, penuh yakin.

Saya sedikit terkejut. Menagih jawapan dari jejaka itu. Saya jeling sekilas wajah jejaka itu, jelas terpancar riak sedih. Saya menyalahkan diri sendiri atas soalan yang entah apa-apa keluar dari mulut saya sebentar tadi. Jejaka itu kemudiannya mengukir wajah selamba. Sambil bertanyakan itu ini kepada anak-anak saudaranya, anak kepada abangnya (Hanin dan Ulya) dan anak kepada kakaknya (Salwa). Dengan saya, sepatah dua sahaja yang diucapkan, itu pun dengan tidak memandang ke arah saya. Huh!

“Kita ada dua orang ayah tau! Achik dengan lagi sorang, Uteh,” si comel Salwa menambah lagi, dengan keyakinan yang tidak berkurangan. Achik dan Uteh, dua-dua bapa saudaranya. Saya tahu itu!

Saya menunduk, jelas saya sedih. Kemudian saya terdiam lama. Mahu sahaja saya tinggalkan mereka. Segera. Tapi kaki saya seakan berat. Saya menanggung sedih dengan tidak mahu memancarkan rasa itu pada wajah. Jejaka itu berlalu pergi, entah mengapa.

Dengan rasa sedih yang membelit hati, saya khabarkan pada diri. Saya mahu sayang mereka sungguh-sungguh. Biarpun mereka tidak tahu itu, tapi saya sayang mereka, tetap sayang mereka.

Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.”


(9:40)


"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.”

(3:139)

Salwa IV

Saya tidak mungkin lupa bagaimana saya melambai-lambai si comel Salwa. Dan kemudiannya, dia berlari-lari anak ke arah saya. Tudung yang tersarung itu menyerikan lagi wajah comelnya, sekaligus menambahkan rasa sayang yang bertandang dalam hati saya.

“Kakak, nanti kita jumpa lagi tau. Salwa balik KL dulu,” ucapnya sambil mencium tangan saya.

Kan, sudah saya khabarkan. Si comel Salwa masih tak kenal saya. Berkali-kali sudah saya khabarkan,

“Ishh.. bukan kakak lah. Mak Ngah, Mak Ngah Nurul,” saya sungguh-sungguh mahu dia ingat itu.

Saya hanya mahu mereka tahu,

Mak Ngah sayang Salwa.

Mak Ngah Nurul sayang sangat-sangat semua.


Akhir

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurna-kan balasan kamu..."

(3:185)

Al-fatihah untuk allahyarham Mazlan bin Ismail

2 comments:

Anonymous said...

ehem2:)

nurulsyamila said...

apadiaa cekkk???

~haha..

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin