Monday, January 13, 2014

Hassan

بسم الله الرحمن الرحيم
 Dengan Nama Allah, 
 Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani. 

Saya : Siapa Muhammad daniel Hassan Basri?
Murid-murid : Hassan Sabri lah cikgu.
Saya : (menyemak semula senarai nama). Oh, ya! Hassan Sabri. Mana orangnya?
Daniel : (angkat tangan)
Saya: Panjangnya nama. Nak panggil apa ni?
Daniel : Daniel.
Saya: Cikgu panggil Hassan boleh? (muka serius)
Daniel: (geleng kepala)

Kadang-kadang cara orang nak mengusik ni lain-lain. Muka serius cikgu ni bukan sebab cikgu garang tapi cikgu nak mengusik


  ImageChef.com - Custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more

Arman

بسم الله الرحمن الرحيم
 Dengan Nama Allah,
 Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani.

Tahun ini saya sangat bersemangat untuk mencurahkan bakti kepada anak-anak murid. Kiranya selama setahun yang sudah, banyak kesilapan dan kelemahan diri yang telah saya kenalpasti. Jadi, saya berjanji untuk memperbaikinya pada tahun ini.

Saya mengkaji dan mengimbas kembali bagaimana cara guru-guru saya mengajar  ketika di sekolah rendah. Maka dengan itu, saya perlu mengubah strategi mengajar.  Akhirnya, kesimpulan yang boleh saya buat adalah saya perlu menjadi guru yang lebih terurus dan bersikap agak tegas dengan anak-anak murid bagi memastikan mereka lebih berdisiplin terutamanya ketika di dalam kelas.

Sudah! Sudah! Fokus saya di sini adalah ARMAN. Begini ceritanya..

Dalam kelas tahun 3, saya bersikap agak serius. Saya jarang bergurau senda, bermesra mahupun berlawak. Ketika pertama kali masuk ke kelas itu, saya mula berkenalan dengan anak-anak murid seorang demi seorang. Untuk kelas yang kedua, saya mula mengumpul buku dan memberikan latihan dalam helaian kertas.

Ketika sedang sibuk meyemak kertas, ada seorang anak murid yang bernama Irine menghantar kertas tanpa menulis nama. Maka saya memanggil Irine dengan suara yang agak perlahan dan tidak didengari olehnya.

Kebetulan ada seorang murid lelaki di sebelah saya ketika itu. Dia memanggil Irine dengan sedikit kuat dalam nada yang kedegaran agak gelabah. Ya, Dialah Arman. Dan disinilah bermulanya cerita tentang Arman.

Tanpa segan silu, terus saya bertanyakan Arman,

"Awak suka Irine eh?" Arman geleng-geleng tapi dia tak berjaya menyorokkan senyum malu-malunya.

Ketika itu saya memang yakin benar Arman sukakan Irine. Irine ni memang comelnya Ya Allah..
Tapi nak buat macam mana, Arman tak nak mengaku!

Untuk kelas seterusnya, saya dapati ada tiga orang murid yang tidak hadir. Tapi disebabkan saya sangat baru mengenali mereka, maka saya tidak dapat meneka murid-murid yang tidak hadir itu. Maka saya pun bertanya kepada Auni,

"Siapa tak dapat hari ni?"

"Aisyah Maisarah," Auni jawab dengan yakin.

"Lagi?" saya bertanya tanda tak puas hati.

Insyirah dari tempat duduknya menjawab,

"Zakwan, tu jelah"

Saya langsung tak puas hati. Masih terdapat seorang murid yang belum disebut namanya. Maka saya bertanya kepada seluruh isi kelas.

"Siapa lagi yang tak datang hari ini?"

"Irine!!" saya mendengar jeritan suara seorang murid lelaki dan saya betul-betul terkejut kerana ianya datang dari Arman. Dengan spontan saya cakap sambil tersenyum-senyum,

"Amboi Arman!" Arman macam tak tahu nak respon apa.

Saya pulak rasa serba salah sebab buat Arman macam tu. Tentu dia malu! Adess, dari tadi teringat Arman. Sorry, Arman!

*semua nama watak adalah palsu kecuali watak utama ( Arman)
  ImageChef.com - Custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more

Sunday, September 30, 2012

Kisah Lama..


بسم الله الرحمن الرحيم
 Dengan Nama Allah, 
 Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani

Saya ada seorang kawan. Waktu itu sangat gempar berita tentang ayahnya sakit. Mula-mula dengar memang saya terkejut, kerana saya tahu saya orang terakhir yang telinganya mendengar berita itu. Tapi tetap saja saya tak punya hati untuk bertanya lebih lanjut tentang berita itu.

Seingat saya, berita yang saya dengar itu saya kongsikan dengan seorang teman. Hanya seorang, oh kalau silap mungkin 2 orang dan tak mungkin lebih dari itu. Saya berasa simpati dengan situasinya ketika itu, dan saya juga terbayang kisah hidup saya. Saya juga punya ibu yang sakit waktu saya masih belasan tahun, ketika saya sedang berjuang menimba ilmu di medan sekolah menengah. Saya fikir saya faham benar perasaan kawan saya itu, jadi saya memang sudah tutup kehendak untuk bertanya tentang perkembangan ayahnya. Saya sedar saya bukanlah teman yang rapat, jadi saya takut-takut isu ini menjadi sensitif untuk dijawab olehnya.

Saya bersedia untuk mendengar dari sesiapa sahaja kawan yang sudi menceritakan perkembangan semasa ayah kepada kawan saya itu, selain mendoakan yang baik-baik saja. Kawan saya itu tidak pernah berkongsi mahupun bercerita tentang masalahnya kepada saya jadi saya diamkan saja. Satu malam, saya terima satu pesanan ringkas dari entah siapa mengatakan keadaan ayah kawan saya itu semakin kritikal. Hanya Allah yang tahu perasaan saya, rasa bersalah kerana saya tidak ambil berat tentang keadaan semasanya. Tapi tetap saja saya doakan yang baik-baik untuk ayahnya.

Beberapa hari selepas itu, saya terima pesanan ringkas dari kawan saya itu. Bunyinya lebih kurang begini,

 "Siapalah agaknya yang buat cerita ayah saya sakit tenat?"


Entah saya tak tahu kenapa saya membaca ayat itu sebagai kata sindiran, kata-kata yang menuduh saya yang mereka cerita ayahnya sakit tenat. Saya sedih kerana dari situ saya sedar dan saya mula tahu, kawan-kawan melihat saya sebagai agen penyampai berita. Heyy, saya tahu saya ni memang suka bercerita, kawan-kawan pun memang suka berkongsi cerita dengan saya, tapi untuk saya menyampaikan berita yang tak tentu hala kesahihannya memang tidaklah!!

Jujur memang saya kecewa, amat-amat kecewa. Kerana pada malam kejadian, abang saya memberitahu ayah saya dimasukkan ke dalam wad.Dan ya, saya sekali lagi menjadi orang yang terakhir yang tahu tentang ayah saya. Mereka kata, jangan beritahu saya kerana waktu itu peperiksaan akhir sedang berlangsung.

Saya rasa amat sedih, menjadi manusia yang tidak berguna. Tidak mampu berada di sisi ayah yang tenat, juga dituduh sebagai penjaja cerita bohong. Sedih dan saya memang amat marah tapi saya tahan, tahan dan hanya bertahan. Sungguhpun kawan saya menafikan ayat itu bukan ayat tuduhan, tapi tetap saya tidak mampu buat saya hilang marah, dan saya sungguh berfikiran yang bukan-bukan ketika itu.


Kesudahan kisah ini, saya beraya tanpa ayah dan ibu setiap tahun, saya tak mampu menahan air mata dari terus mengalir saat saya keseorangan. Saya doakan kawan-kawan saya Allah kurniakan kesihatan yang baik kepada orang tua mereka. Tapi, saya tetap mensyukuri kehidupan saya ini kerana saya punya keluarga yang amat menyayangi. Oleh itu, tentu kawan-kawan faham kalau saya mahu berlama-lama dengan keluarga..

   ImageChef.com - Custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more

Sunday, July 22, 2012

Bekal~

بسم الله الرحمن الرحيم 
 Dengan Nama Allah, 
Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani.





Saya : Bang, boleh bukak tak buku ni? nak tengok..
Abang Jurujual : Ni beli untuk diri sendiri ke hadiah?
Saya : errr...
Abang Jurujual : Mesti untuk diri sendiri kan? Sebab tu mintak bukak tadi.
Dia : Beli untuk hantaran kahwin..
Saya : erkk...

Siapalah 'Dia' tu kan? haha..

 
Saya beli buku Bekal Pengantin ni kat Pesta Buku Selangor di SACC Mall 7 Julai lepas.
Masa saya jalan depan kedai buku tu, kawan saya yang 'Dia' tu yang mula-mula nampak buku tu.
Buku ni macam nice, saya baru baca sebahagian je dari buku ni. Tafsiran dari kitab Arab. Dapat less 40%, memang rasa berbaloi-baloi~!!

Cuma bila tengok tajuk buku ni, terfikir pulak. Apakah pula BEKAL kita menuju negeri akhirat nanti??
Semoga Ramadhan kali ini lebih baik untuk kita, menjadi pemangkin untuk kita bergelar insan soleh/solehah di muka bumi ALLAH..

"Sungguh ALLAH telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah. Kerana itu bertaqwalah kepada ALLAH supaya kamu mensyukuri-Nya" (3 :123)

  ImageChef.com - Custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more

Tuesday, May 15, 2012

Mencari Seorang Dia

بسم الله الرحمن الرحيم 
Dengan Nama Allah, 
Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani


“Nama penuh saya Nurul Kiasatina  binti Ahmad Yusof. Kawan-kawan panggil Cat,”
 
Dia buat aku sedikit ternganga. Mujur pelanggan di Restoran Rasa Sayang ini tidak ramai, malu juga aku. Aku harap, kak Insyirah dan suaminya yang meneman tidak perasan reaksi aku tadi.

Bagiku nama Cat itu terlalu moden dan tidak sesuai dengan gadis bertudung labuh di depanku ini. Dan ya, walaupun gadis ini bertudung labuh, tapi tak mungkin aku lupa gaya gadis ini memparkir motosikal merahnya tadi, persis seorang minah rempit. 

Cat? Tidakkah nama Nurul Kiasatina  itu sudah lebih indah dan sempurna? Aku kerut dahi untuk kali pertama dan kerutan dahi itu bersambung-sambung hingga akhirnya. Entah dia perasankan respon aku yang sebegitu atau tidak.

“Jadi, mahu ana panggil apa?Cat?” Aku tidak teragak-agak untuk mencantas ayat intro gadis itu.

“Terpulang. Famili pulak panggil Adik sebab I’m the youngest in the family,” dia sambung, kali ini aku tidak nampak lagi anak matanya memandang wajahku. 

“Oh, ya! Tentang memasak tu, saya memang tak pandai masak dan kurang cekap menguruskan rumahtangga tapi saya sedia untuk belajar,” dia tunduk, pandang ke kiri, kanan dan mengelak untuk bertembung mata denganku hingga ke penghujung sesi taaruf ini.


***************************

Aku sungguh terkejut ketika aku didatangi oleh Ustaz Ikram. Dia menyampaikan hajat yang betul-betul menjerut tangkai hatiku. Katanya ada seorang gadis menawarkan dirinya untuk menjadi sayap kiri perjuanganku. Bahasa Ustaz Ikram ini sedikit berbunga-bunga, tapi aku raikan juga. 

Dan aku betul-betul terkejut apabila dia khabarkan si empunya milik nama. Iman Najlaa. Iman Najlaa yang aku kenal sejak tahun pertama di kampus. Dan ya, dia juga pernah membawa bubur ayam yang enak untukku ketika aku ditahan di wad kerana disyaki demam denggi sewaktu tahun kedua pengajian. Dia sungguh prihatin dan ambil berat tentang aku. Tiba-tiba aku teringatkan Nurul Kiasatina . Dia itu seorang yang ambil berat jugakah seperti mananya Iman Najlaa ? Tidak pernah pula aku sakit-sakit sepanjang perkenalan aku dengan Nurul Kiasatina ini. 

Kamu tahu, Iman Najlaa itu peminatnya ramai, wajahnya ayu, tutur katanya lembut. Aku tanpa lengah menyampaikan khabar itu kepada Ummi sebaik pulang ke kampung hujung minggu itu. Apabila aku suakan gambar Iman Najlaa, Ummi kata,

“Cantik!”

Kamu tahu, aku sudah senaraikan beberapa ciri isteri solehah idaman aku. Ciri-cirinya seperti berikut :

 1. Cantik
 2. Lemah lembut dan bersopan santun
 3. Naif dan manja.
 4. Taat dan tidak suka membangkang
 5. Tidak bergaya, zuhud. (Kalau bergaya, susah mahu aku jaga)
 6. Tidak terlalu berdikari. (Kalau berdikari sangat, apa fungsi aku sebagai suami?)
7. Pandai memasak dan menguruskan rumahtangga
  8. Bersifat keibuan, penyayang, prihatin
9. Menghormati orang tua (terutama family aku)
10. Negeri asal = sama dengan aku

Kalau mengikut ciri-ciri yang aku senaraikan itu, memang Iman Najlaa sangat memenuhi kriteria. Dari kriteria pertama hingga ke sembilan. Tapi yang ke sepuluh itu tidak!

Dan ya, aku mahukan jodoh dari negeri aku sendiri. Kenapa mahu pasangan dari negeri Johor juga? Antara alasan yang aku berikan:

1 Budaya, adat, loghat, makanan lebih kurang sama.
2      Aku tak dapat bayangkan rombongan pengantin yang bakal disertai Ummi, Abah, Tok Wan, Tok Ki dan pak cik-mak cik aku yang sudah berusia itu mengharungi perjalanan yang jauh dan panjang. Kasihan mereka semua sudah tua!

Itu sahaja alasannya. Alasan itu terlalu kebudak-budakankah?

***************************
Sudah sepuluh minit aku teragak-agak. Duduk di hadapan laptop ini sambil tak putus-putus memberi semangat kepada diri sendiri. Kenapa payah benar aku mahu memulakan perbualan di laman sosial ini? Aku tarik nafas dalam-dalam. Tanpa ragu-ragu lagi, aku klik pada namanya. Maka, ruangan chatting terbentang luas, tinggal masa untuk aku menekan papan kekunci saja. Bismillah..

Angah^waFi      : Assalamualaikum. Moga sihat hendaknya.
cat_eusof            :Waalaikumussalam. Alhamdulillah, sihat.
Angah^waFi      :Maaf kalau ana ganggu. Cuma mahu bertanya, tadi enti ada ke Plaza Angsana? Ana macam ternampak enti. Enti yang pakai selendang tu ye? Maaf kalau salah orang.
cat_eusof            :Ya ustaz. Tapi saya dengan sepupu saya pun pakai selendang. Kenapa ustaz? Ustaz nak kenal dengan sepupu saya yang cantik tu ke?

Sepupu yang cantik? Kenapa aku tak perasan pun tadi. Sebenarnya aku betul-betul terkejut melihatkan dia mengenakan selendang petang tadi. Bukankah kali pertama ketika berjumpa di Restoran Rasa Sayang sebulan yang lepas, walaupun seperti gaya minah rempit tetapi dia memakai tudung labuh dan berjubah? Selendang yang dipakainya tadi masih labuh dan masih menutup apa yang perlu ditutup tapi.. arghhh!!!

Angah^waFi      :Maaf. Jangan salah faham. Ana nak tanya pendapat enti. Enti tak rasa selendang tu buat enti tabarruj?
cat_eusof            :Oh, saya tak fikir begitu ustaz. Ya, saya akui kita punya pendapat sendiri. Dan saya juga ada pendapat saya sendiri. Saya juga tak marah kalau orang lain tak setuju dengan pendapat saya. Dan seperti yang pernah saya katakan waktu sesi ta’ruf kita tempoh hari, saya jenis yang open minded. For me, as long as sesuatu perkara tu tak langgar syariat then kita diharuskan untuk buat. Dan juga saya bukan seorang yang mengejar kesempurnaan tapi saya mencari kesederhanaan dan redha Allah.

Jawapannya yang panjang itu buat aku berfikir panjang hingga aku tidak mampu membalas apa-apa. Kami ini sekufukah?

***************************
Ummi mahu aku ke rumah Pak Ngah, katanya ada kenduri doa selamat. Aku setuju sahaja, memandangkan sudah lama tidak bersua dengan keluarga Pak Ngah dan saudara mara yang lain. Nama pun kenduri doa selamat, maka aku pun selamat disembur dengan pelbagai soalan cepumas.

“Abang Ngah, Pak Ngah dah selamat buat kenduri doa selamat. Bang Ngah pula bila kendurinya?” soalan Mak Lang betul-betul menjerut leher aku. Takkan aku mahu berpura-pura bertanyakan kenduri jenis apa sedangkan aku sedia maklum maksud Mak Lang. Aku hanya tersenyum, konon-konon jawapan aku sangat mahal.

Setelah didesak oleh kaum keluarga dari segenap penjuru, maka aku menjawab dengan ringkas.

“Tengah dalam proses penapisan borang calon lagi sekarang ni. Banyak sangat yang hantar borang,” seperti yang aku jangka, jawapan aku  berjaya membuatkan mereka berhenti dari terus menyoal. Mesti mereka geli tekak mendengar respon aku.

Sebelum pulang ke rumah, aku disapa lembut oleh Pak Usu. Dan aku sangat terkejut dengan kata-kata terakhirnya.

***************************
Antara Nurul Kiasatina  dan Iman Najlaa, layakkah aku memilih antara mereka? Layakkah aku memiliki seorang dari mereka? Aku buntu, benar-benar buntu. 

Mereka berdua itu sungguh berbeza, Iman Najlaa itu parasnya cantik lagi menawan. Nurul Kiasatina pula biasa-biasa sahaja. Jika Ummi katakan Iman Najlaa itu cantik, tapi komen untuk Nurul Kiasatina pula begini,

“Kiasatina  itu punya mata yang cantik, senyumannya pula manis dan nampak ikhlas. Dia punya jiwa yang lembut, walaupun luarannya dia nampak kental,”

Aku tidak faham kenapa untuk Iman Najlaa Umi hanya respon dengan satu perkataan, tapi untuk Nurul Kiasatina  pula berpatah-patah kata yang keluar. 

Tuntas aku terfikir,

“Aku ini sebenarnya tidak layak memilih, apatah lagi memilik.”

***************************

Allah, sudah berbulan-bulan aku mengharapkan jawapan. Tapi aku semacam tidak punya jawapan. Kenapa hati dan akalku tidak pernah seiring? Andai akalku mengatakan A adalah jawapan, kenapa hatiku meronta-ronta mahukan B? Sudah puas aku menangis dan meratap setiap malam dalam sujud istikharahku.

Tiba-tiba, aku teringat pesan Pak Usu sewaktu kenduri di rumah Pak Ngah dahulu,

“Jangan mengejar yang sempurna andai kita juga bukanlah dari yang sempurna. Tapi carilah yang boleh sempurnakan kita. Uzair Wafi, tidak perlu terburu-buru, dan jangan pula bertangguh-tangguh,”

Aku mengesat cecair di hujung mata. Allah, andai saja kamu semua bisa merasai apa yang aku rasakan kini. Aku harap aku tak akan lelah dalam pencarian ini. Hanya pada Allah tempat aku bergantung segalanya,

“Kenapa Ummi tengok, Abang Ngah macam ada masalah je sejak kebelakangan ni? Abang Ngah fikir tentang jodoh?” aku biarkan soalan umi tidak berjawab kerana aku sendiri tak punya jawapan.

“Abang Ngah mahu yang macam mana?” 

“Ummi, boleh tolong Abang Ngah buat keputusan?” Ummi tersenyum manis ke arahku lantas berkata,

“Ummi berkenan dengan dia,”

***************************

Dan untuk hari ini, sudah sepuluh tahun aku mendirikan rumahtangga bersama dia. Dia yang menjadi pilihan Ummi, dia jugalah yang menjadi pilihan hatiku.

Kamu tahu, dia yang punya pendirian itu mengajar aku untuk hormat pada pendirian orang lain. Aku belajar untuk bertolak ansur, sukakan perbincangan untuk mencapai kata sepakat. Dia yang begitu membuatkan aku lebih terbuka dan tidak menyimpan rasa dalam hati.

Kamu tahu, sifatnya yang berdikari itu sangat memudahkan aku yang bertambah sibuk ini.
Kamu tahu, dia itu rupa-rupanya manja juga. Tapi, manjanya itu bertempat bukan di kala aku serabut dan mahukan rehat. Dia kata,
“Anak bongsu memanglah manja, abang,”

Kamu tahu, dia yang moden dan suka bergaya itu bukanlah moden mana pun. Kadang-kadang dia pula terlebih kampung dari aku. Gayanya yang konon-konon moden itu selalu buat aku tersenyum.

Kamu tahu, katanya dia tidak tahu memasak dan kurang pandai menguruskan rumahtangga itu tanda dia seorang yang rendah diri. Dia, isteriku itu pandai juga buat itu dan ini, dan sifat rendah dirinya itu masih bertahan walaupun sudah sepuluh tahun kami bersama.

“Baby,nanti kan tolong abang…” aku tidak dapat menyambung ayat seterusnya. Perlahan-lahan senyumku terukir. Sudah tidur rupanya isteri aku ini. Penat seharian melayan anak-anak yang bertiga itu agaknya.

 “Ayah, cat tu kan kucing kan? Kenapa kawan-kawan mama panggil mama ‘Cat’ tapi mama kan takut kucing? Pastu, kenapa ayah panggil mama, baby? Mama kan dah besar, bukan baby lagi,” soal Sarah Zulaikha dengan matanya yang bulat, persis mamanya. Soalan si kecil ini tidak mampu aku jawab hingga ke hari ini.

  ImageChef.com - Custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin