بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan Nama Allah,
Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani
“Nama penuh saya Nurul
Kiasatina binti Ahmad Yusof. Kawan-kawan
panggil Cat,”
Dia buat aku sedikit ternganga. Mujur pelanggan di Restoran
Rasa Sayang ini tidak ramai, malu juga aku. Aku harap, kak Insyirah dan
suaminya yang meneman tidak perasan reaksi aku tadi.
Bagiku nama Cat itu terlalu moden
dan tidak sesuai dengan gadis bertudung labuh di depanku ini. Dan ya, walaupun
gadis ini bertudung labuh, tapi tak mungkin aku lupa gaya gadis ini memparkir
motosikal merahnya tadi, persis seorang minah rempit.
Cat? Tidakkah nama Nurul Kiasatina itu sudah lebih indah dan sempurna? Aku kerut
dahi untuk kali pertama dan kerutan dahi itu bersambung-sambung hingga akhirnya.
Entah dia perasankan respon aku yang sebegitu atau tidak.
“Jadi, mahu ana
panggil apa?Cat?” Aku tidak teragak-agak untuk mencantas ayat intro gadis itu.
“Terpulang. Famili
pulak panggil Adik sebab I’m the youngest in the family,” dia sambung, kali
ini aku tidak nampak lagi anak matanya memandang wajahku.
“Oh, ya! Tentang
memasak tu, saya memang tak pandai masak dan kurang cekap menguruskan
rumahtangga tapi saya sedia untuk belajar,” dia tunduk, pandang ke kiri,
kanan dan mengelak untuk bertembung mata denganku hingga ke penghujung sesi taaruf
ini.
***************************
Aku sungguh terkejut ketika aku
didatangi oleh Ustaz Ikram. Dia menyampaikan hajat yang betul-betul menjerut tangkai
hatiku. Katanya ada seorang gadis menawarkan dirinya untuk menjadi sayap kiri
perjuanganku. Bahasa Ustaz Ikram ini sedikit berbunga-bunga, tapi aku raikan
juga.
Dan aku betul-betul terkejut
apabila dia khabarkan si empunya milik nama. Iman Najlaa. Iman Najlaa yang aku
kenal sejak tahun pertama di kampus. Dan ya, dia juga pernah membawa bubur ayam
yang enak untukku ketika aku ditahan di wad kerana disyaki demam denggi sewaktu
tahun kedua pengajian. Dia sungguh prihatin dan ambil berat tentang aku.
Tiba-tiba aku teringatkan Nurul Kiasatina . Dia itu seorang yang ambil berat
jugakah seperti mananya Iman Najlaa ? Tidak pernah pula aku sakit-sakit sepanjang
perkenalan aku dengan Nurul Kiasatina ini.
Kamu tahu, Iman Najlaa itu
peminatnya ramai, wajahnya ayu, tutur katanya lembut. Aku tanpa lengah menyampaikan
khabar itu kepada Ummi sebaik pulang ke kampung hujung minggu itu. Apabila aku
suakan gambar Iman Najlaa, Ummi kata,
“Cantik!”
Kamu tahu, aku sudah senaraikan beberapa ciri isteri solehah
idaman aku. Ciri-cirinya seperti berikut :
1. Cantik
2. Lemah lembut dan bersopan santun
3. Naif dan manja.
4. Taat dan tidak suka membangkang
5. Tidak bergaya, zuhud. (Kalau bergaya, susah mahu
aku jaga)
6. Tidak terlalu berdikari. (Kalau berdikari
sangat, apa fungsi aku sebagai suami?)
7. Pandai memasak dan menguruskan rumahtangga
8. Bersifat keibuan, penyayang, prihatin
9. Menghormati orang tua (terutama family aku)
10. Negeri asal = sama dengan aku
Kalau mengikut ciri-ciri yang aku senaraikan itu, memang Iman
Najlaa sangat memenuhi kriteria. Dari kriteria pertama hingga ke sembilan. Tapi
yang ke sepuluh itu tidak!
Dan ya, aku mahukan jodoh dari negeri aku sendiri. Kenapa
mahu pasangan dari negeri Johor juga? Antara alasan yang aku berikan:
1 Budaya, adat, loghat, makanan lebih kurang sama.
2 Aku tak dapat bayangkan rombongan pengantin yang
bakal disertai Ummi, Abah, Tok Wan, Tok Ki dan pak cik-mak cik aku yang sudah
berusia itu mengharungi perjalanan yang jauh dan panjang. Kasihan mereka semua
sudah tua!
Itu sahaja alasannya. Alasan itu terlalu kebudak-budakankah?
***************************
Sudah sepuluh minit aku teragak-agak. Duduk di hadapan
laptop ini sambil tak putus-putus memberi semangat kepada diri sendiri. Kenapa
payah benar aku mahu memulakan perbualan di laman sosial ini? Aku tarik nafas
dalam-dalam. Tanpa ragu-ragu lagi, aku klik pada namanya. Maka, ruangan
chatting terbentang luas, tinggal masa untuk aku menekan papan kekunci saja.
Bismillah..
Angah^waFi : Assalamualaikum. Moga sihat hendaknya.
cat_eusof :Waalaikumussalam. Alhamdulillah,
sihat.
Angah^waFi :Maaf
kalau ana ganggu. Cuma mahu bertanya, tadi enti ada ke Plaza Angsana? Ana macam
ternampak enti. Enti yang pakai selendang tu ye? Maaf kalau salah orang.
cat_eusof :Ya
ustaz. Tapi saya dengan sepupu saya pun pakai selendang. Kenapa ustaz? Ustaz
nak kenal dengan sepupu saya yang cantik tu ke?
Sepupu yang cantik? Kenapa aku tak perasan pun tadi. Sebenarnya
aku betul-betul terkejut melihatkan dia mengenakan selendang petang tadi. Bukankah
kali pertama ketika berjumpa di Restoran Rasa Sayang sebulan yang lepas, walaupun
seperti gaya minah rempit tetapi dia memakai tudung labuh dan berjubah?
Selendang yang dipakainya tadi masih labuh dan masih menutup apa yang perlu
ditutup tapi.. arghhh!!!
Angah^waFi :Maaf. Jangan salah faham. Ana nak tanya pendapat
enti. Enti tak rasa selendang tu buat enti tabarruj?
cat_eusof :Oh, saya tak fikir begitu
ustaz. Ya, saya akui kita punya pendapat sendiri. Dan saya juga ada pendapat
saya sendiri. Saya juga tak marah kalau orang lain tak setuju dengan pendapat
saya. Dan seperti yang pernah saya katakan waktu sesi ta’ruf kita tempoh hari,
saya jenis yang open minded. For me, as long as sesuatu perkara tu tak
langgar syariat then kita diharuskan untuk buat. Dan juga saya bukan seorang
yang mengejar kesempurnaan tapi saya mencari kesederhanaan dan redha Allah.
Jawapannya yang panjang itu buat aku berfikir panjang hingga
aku tidak mampu membalas apa-apa. Kami ini sekufukah?
***************************
Ummi mahu aku ke rumah Pak Ngah, katanya ada kenduri doa
selamat. Aku setuju sahaja, memandangkan sudah lama tidak bersua dengan
keluarga Pak Ngah dan saudara mara yang lain. Nama pun kenduri doa selamat,
maka aku pun selamat disembur dengan pelbagai soalan cepumas.
“Abang Ngah, Pak Ngah
dah selamat buat kenduri doa selamat. Bang Ngah pula bila kendurinya?” soalan
Mak Lang betul-betul menjerut leher aku. Takkan aku mahu berpura-pura
bertanyakan kenduri jenis apa sedangkan aku sedia maklum maksud Mak Lang. Aku
hanya tersenyum, konon-konon jawapan aku sangat mahal.
Setelah didesak oleh kaum keluarga dari segenap penjuru,
maka aku menjawab dengan ringkas.
“Tengah dalam proses
penapisan borang calon lagi sekarang ni. Banyak sangat yang hantar borang,” seperti
yang aku jangka, jawapan aku berjaya membuatkan
mereka berhenti dari terus menyoal. Mesti mereka geli tekak mendengar respon
aku.
Sebelum pulang ke rumah, aku disapa lembut oleh Pak Usu. Dan
aku sangat terkejut dengan kata-kata terakhirnya.
***************************
Antara Nurul Kiasatina dan Iman Najlaa, layakkah aku memilih antara
mereka? Layakkah aku memiliki seorang dari mereka? Aku buntu, benar-benar
buntu.
Mereka berdua itu sungguh berbeza, Iman Najlaa itu parasnya
cantik lagi menawan. Nurul Kiasatina pula biasa-biasa sahaja. Jika Ummi katakan
Iman Najlaa itu cantik, tapi komen untuk Nurul Kiasatina pula begini,
“Kiasatina itu punya mata yang cantik, senyumannya pula manis
dan nampak ikhlas. Dia punya jiwa yang lembut, walaupun luarannya dia nampak kental,”
Aku tidak faham kenapa untuk Iman Najlaa Umi hanya respon
dengan satu perkataan, tapi untuk Nurul Kiasatina pula berpatah-patah kata yang keluar.
Tuntas aku terfikir,
“Aku ini sebenarnya tidak
layak memilih, apatah lagi memilik.”
***************************
Allah, sudah berbulan-bulan aku mengharapkan jawapan. Tapi
aku semacam tidak punya jawapan. Kenapa hati dan akalku tidak pernah seiring? Andai
akalku mengatakan A adalah jawapan, kenapa hatiku meronta-ronta mahukan B? Sudah
puas aku menangis dan meratap setiap malam dalam sujud istikharahku.
Tiba-tiba, aku teringat pesan Pak Usu sewaktu kenduri di
rumah Pak Ngah dahulu,
“Jangan mengejar yang
sempurna andai kita juga bukanlah dari yang sempurna. Tapi carilah yang boleh
sempurnakan kita. Uzair Wafi, tidak perlu terburu-buru, dan jangan pula
bertangguh-tangguh,”
Aku mengesat cecair di hujung mata. Allah, andai saja kamu
semua bisa merasai apa yang aku rasakan kini. Aku harap aku tak akan lelah
dalam pencarian ini. Hanya pada Allah tempat aku bergantung segalanya,
“Kenapa Ummi tengok,
Abang Ngah macam ada masalah je sejak kebelakangan ni? Abang Ngah fikir tentang
jodoh?” aku biarkan soalan umi tidak berjawab kerana aku sendiri tak punya
jawapan.
“Abang Ngah mahu yang
macam mana?”
“Ummi, boleh tolong
Abang Ngah buat keputusan?” Ummi tersenyum manis ke arahku lantas berkata,
“Ummi berkenan dengan dia,”
***************************
Dan untuk hari ini, sudah sepuluh tahun aku mendirikan
rumahtangga bersama dia. Dia yang menjadi pilihan Ummi, dia jugalah yang
menjadi pilihan hatiku.
Kamu tahu, dia yang punya pendirian itu mengajar aku untuk
hormat pada pendirian orang lain. Aku belajar untuk bertolak ansur, sukakan perbincangan
untuk mencapai kata sepakat. Dia yang begitu membuatkan aku lebih terbuka dan
tidak menyimpan rasa dalam hati.
Kamu tahu, sifatnya yang berdikari itu sangat memudahkan aku
yang bertambah sibuk ini.
Kamu tahu, dia itu rupa-rupanya manja juga. Tapi, manjanya
itu bertempat bukan di kala aku serabut dan mahukan rehat. Dia kata,
“Anak bongsu memanglah manja, abang,”
Kamu tahu, dia yang moden dan suka bergaya itu bukanlah
moden mana pun. Kadang-kadang dia pula terlebih kampung dari aku. Gayanya yang
konon-konon moden itu selalu buat aku tersenyum.
Kamu tahu, katanya dia tidak tahu memasak dan kurang pandai
menguruskan rumahtangga itu tanda dia seorang yang rendah diri. Dia, isteriku
itu pandai juga buat itu dan ini, dan sifat rendah dirinya itu masih bertahan
walaupun sudah sepuluh tahun kami bersama.
“Baby,nanti kan tolong
abang…” aku tidak dapat menyambung ayat seterusnya. Perlahan-lahan senyumku
terukir. Sudah tidur rupanya isteri aku ini. Penat seharian melayan anak-anak
yang bertiga itu agaknya.
“Ayah, cat tu kan kucing kan? Kenapa kawan-kawan
mama panggil mama ‘Cat’ tapi mama kan takut kucing? Pastu, kenapa ayah panggil
mama, baby? Mama kan dah besar, bukan baby lagi,” soal Sarah Zulaikha
dengan matanya yang bulat, persis mamanya. Soalan si kecil ini tidak mampu aku
jawab hingga ke hari ini.
11 comments:
sweetnye...><
Are sure this is sweet???
Haha..
yes....really sweet 4 me. ^_^
sweet banget mcm org tu..
bila sebut sweet2 ni, ttbe teringat hilal asyraf..
haha..
"Kamu tahu, dia yang moden dan suka bergaya itu bukanlah moden mana pun. Kadang-kadang dia pula terlebih kampung dari aku."
macam kena ketuk jer~ haha...
btw~ Syam memang pandai berkarya. Siyes!
Menantikan seorang lagi seniwati Islamik di dunia penulisan muncul. ameen~! :)
salam, baby.. I just read this n u know what? i thought i was one of it,in your character.. N i wish it will become true one day... one day...
saya suka karya awk..bila nak buat buku
sy mahu berguru dengan Tuan BB!!!
masya Allah mantop syamila..saya suka dengan karya kamu :)
Post a Comment