Friday, April 17, 2009

Izzat lampard...

“Izzat !Izzat !” semua mata tertumpu ke arahnya. Sayup-sayup suara lantang itu menyelinap masuk ke dalam lubang telinganya. Namun, dia langsung tiada minat untuk mencari dari mana datangnya suara itu.

“Izzat, Izzat Lampard. Bangunlah! Wei, cikgu kat depan tu,” terasa tangan kanannya disiku, lantas matanya lambat-lambat dibuka. Dia cuba untuk menahan sakit kepala yang berat dirasakan tanggungannya. Dilihat kiri dan kanan, masing-masing menoleh ke arahnya dengan penuh minat. Dia pasti, guru muda yang baru beberapa hari mengajar di kelasnya mengamuk sakan akan sikapnya itu.

“Izzat, berdiri atas kerusi! Awak ni betul-betul melampau. Awak tahu kan tahun ni nak SPM, tapi sikap awak ni…,” guru muda itu menahan marah. Tiada kata-kata yang dapat diteruskan untuk mentafsirkan kemarahannya. Sakit benar hatinya melihat sikap sambil lewa Izzat.


Izzat mencebik. Dia benar-benar meluat akan keletah guru muda itu. Entah kenapa setiap kali marah guru itu memuncak, dia tidak dapat meneruskan kata-kata. Terasa macam semangatnya tiba-tiba hilang, lalu dia meninggalkan kelas begitu sahaja. Izzat benci insan begitu. Lembik! Benci, benci dan benci.

Itulah dia Cik Nurul Iman, seorang guru berwajah manis dan mengenakan tudung labuh setiap kali ke sekolah. Kali pertama Izzat memandangnya, Izzat terkesima buat seketika. Entah mengapa tingkahnya begitu di kala itu. Sangkanya, guru itu mengajar Pendidikan Islam tapi nyata meleset sama sekali. Guru lepasan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) itu merupakan seorang guru Kimia. Ah, peduli apa Izzat dengan taraf pendidikannya. Yang pasti, semakin hari Izzat semakin benci memandang wajah sakinah itu.

*****************************************

Minggu peperiksaan setara pertengahan tahun telahpun bermula. Kelihatan semua pelajar di kelas 5 Sains 1 sedang sibuk menelaah. Izzat kelihatan tenang tanpa memegang sebarang buku. Dia benar-benar tidak berminat untuk membaca pada saat itu. Lebih-lebih lagi, kertas Kimia yang perlu ditempuhinya selepas ini.

Tepat jam 8 pagi, semua pelajar diarahkan bersedia di tempat duduk masing-masing. Kertas soalan diedarkan. Izzat berdebar-debar. Dia tidak melakukan apa-apa persediaan untuk kertas itu.

“Ah, lantaklah. Biarlah aku failkan paper ni. Baru dia tahu dia tu bukannya bagus sangat. Ajar pun entah apa-apa, ada hati nak lecture aku,” hati kecil Izzat berbicara. Kebanyakan soalan dibiarkan kosong tanpa dijawab. Izzat tersenyum puas apabila kertas jawapannya dikutip. Gembira benar hatinya.

“Baiklah, pelajar. Sekarang kamu dibenarkan rehat,” Izzat cepat-cepat keluar meninggalkan kelas. Tidak sabar untuk menatap seraut wajah yang dirinduinya. Dia tercari-cari wajah itu di sebalik ribuan pelajar yang berpusu-pusu menuju ke kantin.

“Siti, Siti! Hari ini rehat dengan Izzat, ya!” pelajar yang dipanggil Siti itu menoleh lalu tersenyum.
“Eh, Izzat Lampard rupanya. Lama dah tak nampak muka. Mana pergi?” sedikit sinis jawapan yang diterimanya. Izzat sekadar tersenyum.

“Izzat dah belikan makanan untuk Siti. Jom kita makan kat sana,” pelawa Izzat sambil jarinya menunjuk ke arah kerusi batu, bersebelahan dengan bilik guru.

“Izzat Lampard belum jawab soalan Siti lagi. Mana pergi lama tak nampak?” Izzat bengang dipanggil sebegitu. Tidak nampak kemesraannya. Apa salahnya jika memanggilnya dengan nama Izzat sahaja. Tak perlulah menambah nama Lampard di belakang.

“Yalah, Cik Siti Rugayah. Izzat sibuk sebenarnya. Izzat baca bukulah, nak periksa..” kali ini Siti Rugayah pula yang makan hati. Dia tidak suka dipanggil begitu walaupun pada hakikatnya itulah nama yang tercatat dalam kad pengenalannya.

Pertama kali Izzat mendengar nama gadis itu, dia terbahak-bahak ketawa. Tetapi melihat wajahnya yang penuh dengan ketenangan, hati Izzat terusik. Lantas, dia mengerti yang hatinya telah benar-benar terpaut dengan kelembutan dan kemesraan gadis itu. Menurut Siti, nama Siti Rugayah diambil bersempena dengan nama doktor yang menyambut kelahirannya. Ibunya terpaut dengan kelembutan dan sifat baik hati doktor itu dan berhasrat untuk menamakannya Siti Rugayah. Akhirnya, hasrat ibunya itu menjadi kenyataan.

Itu adalah cerita berkenaan dengan nama gadis itu. Tapi, bagaimana pula dengan namanya. Kenapa semua orang gemar memanggilnya Izzat Lampard padahal namanya yang sebenar adalah Syed Mohd Izzat bin Syed Abdullah. Izzat pernah merisik-risik Azlan Shah, apa maksud gelaran itu.

“Takkan tak kenal Lampard. Frank Lampard. Pemain bola sepak Chelsea. Diorang gelar kau macam tu sebab muka kau sebiji macam Lampard. Budak handsomelah katakan,” masih segar di ingatan Izzat akan kata-kata Azlan itu. Mungkin benar tanggapan mereka. Izzat akui mata redup, hidung mancung dan bibir comel miliknya punya persamaan dengan pemain bola sepak terkenal itu. Cuma, Izzat berkulit sawo matang kerana dia berketurunan Arab. Hanya dengan nama gelaran itu, Izzat terkenal satu sekolah. ‘The most popular boy in the school’ kata mereka. Ramai yang memanggilnya Lampard hinggakan ada yang menyangka Lampard adalah nama
sebenarnya. Kelakar juga bunyinya namun hanya senyuman sahaja yang dapat diukir.


Izzat masih leka berbual bersama Siti Rugayah. Tiba-tiba, dia terasa seolah-olah ada sepasang mata yang sibuk memerhatikan gelagat mereka berdua. Izzat menoleh. Sah, Cik Nurul Imanlah orang. Tanpa membuang masa, Izzat cepat-cepat berlalu pergi.

**********************************************************

Selepas minggu peperiksaan berakhir, semua pelajar memulakan pembelajaran seperti biasa. Dalam tempoh lebih kurang dua minggu, pelajar-pelajar memperoleh kembali hampir kesemua kertas peperiksaan mereka. Ada yang gembira dengan markah mereka tetapi tidak kurang pula yang berduka lara. Bagi Izzat, inilah peperiksaan yang paling teruk pernah ditempuhinya. Baru sebentar tadi, dia memperoleh markah Kimia. Keputusannya, dia gagal seperti apa yang telah diduganya. Cik Nurul Iman pula kelihatan agak kesal dengan sikapnya. Izzat tetap buat muka selamba. Sesekali senyuman sinis dihadiahkan buat guru muda itu. Bagi kertas peperiksaan yang lain, hanya Matematik dan Pendidikan Islam sahaja yang boleh dibanggakan. Selebihnya, hanya cukup makan sahaja.

“Izzat Lampard, Cik Iman nak jumpa kau kat bilik guru sekarang juga,” beritahu Amir Syahid ketika mereka terserempak di pintu kelas. Izzat mengeluh.

“Alah, lecehlah. Ni mesti nak lecture aku lagi. Bencinya,” berkerut seribu dahi Izzat.

“Assalamualaikum, Cik Iman. Cik Iman nak jumpa saya, kan,” tegur Izzat sebaik-baik sahaja mendapatkan Cik Nurul Iman. Salam Izzat dijawab dengan tenang. Merdu suaranya, menusuk ke dalam sanubari Izzat. Izzat tak tahan.

“Apa halnya? Saya ada banyak kerja hari ni. Kalau boleh cepatlah sikit. Kalau nak bagi ceramah, saya rasa saya tak perlu itu semua. Saya dah tahu apa yang Cik Iman nak cakapkan,” Izzat bercakap dengan nada yang agak kasar. Matanya melilau ke kiri dan kanan, seolah-olah guru muda itu tidak wujud di hadapannya.

“Izzat, boleh tak awak berbahasa dengan saya? Cuba hormat saya sebagai cikgu awak. Mana akhlak awak sebagai seorang muslim? Macam ni ke teladan yang awak nak tunjukkan kat semua orang?” bertubi-tubi soalan yang keluar daripada bibir mungil guru itu. Izzat tetap seperti tadi. Selamba. Malas hendak melayan soalan yang dianggap remeh itu. Memandangkan tiada respon positif daripada Izzat, dia meneruskan kata-katanya.

“Kenapa awak fail dalam kimia? Awak pelajar kelas pertama tau. Sepatutnya tiada siapa pun yang boleh fail. Saya dah check result exam awak tahun lepas. Boleh dikatakan kesemuanya memuaskan. Tapi kenapa dengan paper kimia awak untuk exam kali ini? Paper lain pulak banyak yang merosot. Apa dah jadi dengan awak ni, Izzat? Awak ada penjelasan untuk perkara itu? Beritahu saya apa problem awak. Awak sengaja failkan paper kimia, kan! Ataupun awak dah tak berminat nak belajar sebab awak lebih berminat dengan benda lain?” sungguh-sungguh Cik Nurul Iman mengeluarkan pendapatnya. Izzat kurang faham akan maksud sebenar kata-kata guru itu.

“Apa maksud Cik Iman? Saya tak faham,” panas hatinya melihat sikap gurunya itu. Izzat menjeling tajam.

“Jangan kerana perempuan, awak leka dan abaikan tanggungjawab awak,”

“Apa kena dengan Cik Iman ni. Tak ada perempuan yang dapat mengubah pendirian saya. Kalaupun saya berubah, itu kehendak saya sendiri,” Izzat bengang. Sejak dari tadi, wajah putih bersih Cik Nurul Iman tidak dipandangnya. Sedikit rasa kurang senang untuk menjamah wajah ayu guru itu.

“Habis tu, apa problem awak? Pandang saya apabila bercakap dengan saya,” Izzat mengeluh lagi. Nampaknya, Cik Nurul Iman belum tahu lagi panahan matanya boleh buat ramai perempuan angau sendiri. Nak cari nahas agaknya guru muda ini. Izzat mengarahkan matanya, memandang tajam mata Cik Nurul Iman. Pandangan mereka bersatu. Buat seketika, Izzat resah. Mata Cik Nurul Iman yang bundar, alis mata yang tebal dan bulu mata yang lentik itu menyebabkan suatu perasaan ganjil menyelinap dalam diri Izzat. Seakan sepasang mata milik Cik Nurul Iman bisa menggetarkan nalurinya.

Terasa pernah dilihatnya mata itu. Tapi, Izzat kurang pasti siapakah gerangannya yang
mempunyai mata sebegitu. Makin lama makin tak tahan Izzat dibuatnya.

“Tiada jawapan untuk soalan Cik Iman. Maafkan saya. Saya minta diri dulu,” Izzat kemudian berlalu pergi. Hatinya tak tenteram sejak itu. Dia mencari-cari dalam disket memori komputer otaknya. Siapakah gerangan yang memiliki mata sebegitu rupa? Yang nyata, senyuman, mata, gaya percakapan dan gelak tawa Cik Nurul Iman seakan pernah dilihatnya sebelum ini. Buat kali pertama Izzat tidak dapat melelapkan mata hanya kerana seorang wanita. Hanya wajah guru itu sahaja yang menembusi ruang khayalannya kini. Kata-kata lembut guru itu pula sering mengganggu konsentrasinya.


Izzat benar-benar keliru dengan perasaanya. Adakah hatinya dengan begitu mudah
diserahkan untuk gadis bertuah itu? Ah, sukarnya untuk menafsirkan perasaannya kini.

*************************************

Seminggu selepas itu, Izzat bertemu lagi dengan Cik Nurul Iman. Kali ini atas kehendaknya sendiri, bukannya terpaksa.

“Cik Iman, Izzat nak minta maaf kat Cik Iman. Izzat kurang ajar dengan Cik Iman. Mulai sekarang, boleh tak Cik Iman bantu Izzat untuk bangun semula?” tenang Izzat mengeluarkan kata-kata. Direnungnya mata bundar guru itu. Serta-merta muncul semangat baru dalam dirinya.

Respon yang baik diterima Izzat. Cik Nurul Iman mengukir senyuman dan mengucapkan syukur kepada Tuhan atas perubahan anak muridnya itu.

Bermula tika itulah, Izzat rapat dengan Cik Nurul Iman. Hubungannya dengan Siti Rugayah pula sudah mula meregang. Izzat cuba mengelak setiap kali bertemu dengan gadis itu sehinggalah Siti Rugayah mengalah akhirnya. Dibiarkan Izzat berlalu pergi tanpa memberi sebarang alasan munasabah kepadanya.


Izzat tidak seperti dulu lagi. Setiap hari penuh dengan aktiviti membaca, mengulangkaji dan latih tubi. Ketekunan dan kesungguhan Izzat amat luar biasa. Bagi Cik Nurul Iman, sukar untuknya bertemu dengan pelajar yang mempunyai semangat kental seperti Izzat.

*************************************************

Keputusan peperiksaan SPM diumumkan hari ini. Izzat bergegas ke sekolah untuk mendapatkan keputusannya. Izzat benar-benar terkejut. Alhamdulillah, dia berjaya mencatatkan keputusan 11 A1.

Izzat tercari-cari wajah yang dirinduinya. Cik Nurul Iman menitiskan air mata sebaik-baik sahaja menerima berita gembira itu. Sesungguhnya, Izzat benar-benar rindukan mata itu. Baru dia sedari, mata bundar yang dimiliki guru muda itu seiras dengan mata arwah ibunya. Mata itulah yang dirinduinya sejak lima tahun dahulu. Atas dasar itulah, Izzat menanamkan motivasi dan semangat dalam dirinya. Dia tidak mahu harapan arwah ibunya lima tahun dulu hanya tinggal harapan. Di kala ini, dia amat rindukan arwah ibunya. Pasti, ibulah orang yang paling gembira atas kejayaannya. Tapi sayang, ibunya pergi terlebih dahulu. Nyata, Allah lebih sayangkan ibunya.

Nama Izzat Lampard heboh diperkatakan buat kali kedua. Kali ini, bukan ketampanannya yang dipertaruhkan tapi kecemerlangannya menjadi sebutan. Izzat bersyukur ke hadrat Ilahi. Takkan dilupakannya nama Izzat Lampard yang membawa tuah dalam hidupnya.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin